Utusan Borneo

Mangsa penipuan kembali dengan selamat

Pemuda jadi mangsa penipuan pekerjaan berjaya kembali ke Sarawak hasil usaha semua pihak.

Oleh Clare Cinderella

Seorang pemuda tempatan berusia 19 tahun yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan dan dibawa ke negara jiran secara haram, berjaya kembali ke negeri ini dengan selamat hasil usaha semua pihak termasuk Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand.

Setiausaha PH Sarawak Alan Ling semalam merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan seorang mangsa penipuan tawaran kerja luar negara.

“Mangsa yang baru berusia 19 tahun dan dikenali sebagai Hii telah memaklumkan bahawa dia ditawarkan tiket penerbangan dari Miri ke Kuala Lumpur dan berada di Kuala Lumpur selama dua hari sebelum dibawa ke Thailand secara haram dengan menaiki bot,” jelas Ling.

Menurut Ling, penipuan tawaran kerja ini melibatkan negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand di mana mangsa diberikan pekerjaan sebagai ‘scammer’ di mana modus operandi sindiket yang digunakan adalah melalui pelantar media sosial.

“Pejabat kami juga telah mengutus surat kepada pihak Kedutaan Malaysia di Bangkok pada 26 Oktober yang lalu untuk memaklumkan keberadaan mangsa dan seterusnya memohon bantuan menyelamatkan mangsa untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Saya turut menyambut mangsa di Lapangan Terbang Miri pada 19 November lalu untuk mengalualukan mangsa kembali semula dengan selamat ke kampung halaman,” katanya.

Menurut mangsa, dia akan memulakan kehidupan baharu setelah mendapat pekerjaan di Sabah baru-baru ini.

“Walaupun begitu, mangsa juga berkongsi pengalaman yang perit di mana dia telah dicederakan dan dihukum oleh pihak majikan semasa bertugas menjadi ‘scammer’ disebabkan prestasi yang buruk dan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan,” jelas Ling lagi.

Sejak kebelakangan ini, banyak kes berlaku berkaitan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara di mana mereka menawarkan gaji lumayan serta kemudahan tambang pengangkutan dan duit poket kepada mangsa sebagai sumber

tarikan untuk mengambil mereka bekerja.

Sehubungan itu, Ling menyeru orang ramai tidak mudah terperdaya dengan tawaran peluang pekerjaan di luar negara dan diminta lebih berhati-hati ketika menerima tawaran sebegitu.

“Saya juga percaya kerajaan baharu ini akan meneliti perkara sebegini bagi menjamin agar rakyat Malaysia tidak mudah terperdaya dengan tawaran sebegini terutama di negara seperti Kemboja, Myanmar dan Thailand bagi mengelakkan berlakunya sindiket yang melibatkan pemerdagangan manusia,” kata Ling lagi.

Muka Depan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281505050238395

Borneo Post