Utusan Borneo

Kes keganasan rumah tangga di Sarawak menunjukkan penurunan

KUCHING: Statistik kes keganasan rumah tangga (KRT) di Sarawak menunjukkan penurunan antara tahun 2021 dan 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata statistik berkenaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, terdapat 486 kes berbanding 630 kes pada tempoh yang sama bagi tahun 2021.

“Pada tahun 2022 pula, 368 (76 peratus) adalah kes yang berkaitan dengan dadah berbanding 512 kes (81 peratus) pada tahun 2021.

“Penurunan yang menggalakkan ini meningkatkan iltizam kami untuk mempergiatkan usaha menangani isu dadah dan substans,” katanya berucap menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Tambah Fatimah, kementeriannya juga terus komited mengurangkan kes KRT melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pejabat Kesihatan Bahagian dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata antara inisiatif bersepadu kementerian adalah pelaksanaan enam enam siri program kesedaran dan advokasi tentang isu KRT melalui program Know Your Rights (dua siri) dan Randau Pembangunan Sosial (empat siri) melibatkan 2,515 orang di bahagian Miri, Mukah, Betong dan Kuching pada tahun ini.

Katanya, bagi perlindungan sementara mangsa KRT, kementerian menyediakan lima Tempat Selamat di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu dan Miri, manakala sebuah Tempat Transit Sementara (TTS) disediakan di Kuching.

“Sementara itu, khidmat sokongan bersepadu antara Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, PDRM dan JKMS disediakan di One Stop Crisis Centre (OSCC) yang terdapat di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri dan Hospital Sibu untuk menangani isu trauma, kesihatan dan perundangan.

“Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2022 pada 27 November 2022, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bandar Baharu Samariang telah dianugerahkan sebagai PAKK Paling Aktif peringkat kebangsaan,” katanya.

Muka Depan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281522230107579

Borneo Post