Utusan Borneo

Kenyalang Tourism Booster diharap pulih pelancongan Niah

Inisiatif Kenyalang Tourism Booster 2022 Niah yang berlangsung selama dua hari di sini diharap dapat membantu memulihkan industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Dianjurkan dengan kerjasama Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) bersama BIMP-EAGA Young Entrepreneur’s Chamber (BYEC), inisiatif tersebut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Selain merancakkan semula industri pelancongan di Niah yang terkenal dengan Taman Negara Gua Niah, penganjuran program tersebut juga bertujuan meningkatkan industri pelancongan negeri menerusi segmen sukan, marin/sukan air, kebudayaan dan agro.

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni ketika merasmikan program berkenaan memberitahu, seiring dengan Malaysia yang memasuki fasa pemulihan ketika ini, inisiatif Kenyalang Tourism Booster juga bertujuan membangunkan industri pelancongan, seni tempatan dan membantu usahawan tempatan.

Untuk tahun 2022, program ini diadakan di tiga lokasi iaitu di Kota Samarahan pada 24 dan 25 September, Mukah pada 22 dan 23 Oktober dan Niah pada 26 dan 27 November.

Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan termasuk Forum KTB bagi pelancongan agro, gerai pameran, ‘Homestay Socmed Challenge’, persembahan gendang dan seni silat, karnival sukan rakyat, pertandingan masakan tradisional, bengkel pemasaran digital sama ada dilakukan secara fizikal mahupun hibrid, selari dengan tanda pagar ‘Digital, Virtual, Online and Hybrid Community’ bagi memupuk dan mencetus aura positif dalam kalangan komuniti dan penggiat industri.

Manakala Pengerusi KOBIS Zaiwin Kassim berharap inisiatif itu mendapat sambutan yang positif dan memberi rangsangan kepada industri pelancongan dan seni secara digital dan hibrid, lebih-lebih lagi dalam pelancongan sukan, marin, eko dan budaya.

Jelasnya, sambutan positif daripada orang ramai bukan sahaja mampu memberi suntikan kepada ekonomi namun juga dapat merapatkan hubungan antara keluarga dengan menyertai aktivitiaktiviti yang dianjurkan.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281565179780539

Borneo Post