Utusan Borneo

PBT belanja RM61.71 juta untuk 218 projek

RM131.25j untuk Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan laksana pelbagai projek pada 2022

Oleh Jessica Jawing Dato Sri Dr Sim Kui Hian Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

KUCHING: Dianggarkan RM61.71 juta telah dibelanjakan untuk 218 projek oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun ini.

Menterinya Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata pada tahun 2022, kementeriannya telah diperuntukkan RM131.25 juta di bawah Pembiayaan Negeri untuk pelaksanaan pelbagai projek oleh 24 PBT.

“Sehingga 3 November 2022, RM61.71 juta (47.02 peratus) telah diagihkan untuk 218 projek infrastruktur seperti penambahbaikan jalan dan saliran, penambahbaikan kawasan pantai, menaik taraf pasar, penyediaan lampu jalan, lampu isyarat, tandas awam, perpustakaan awam, pengindahan bandar dan landskap serta kemudahan luar bandar.

“Kesemua projek tersebut sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ia merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak yang penting dalam membangunkan kawasan luar bandar dengan membina kemudahan dan infrastruktur awam untuk masyarakat luar bandar.

Katanya di bawah inisiatif itu, PBT di bawah kementeriannya telah diperuntukkan sebanyak RM97.5 juta pada 2021 yang terdiri daripada 716 projek dan RM123.4 juta pada tahun 2022 yang terdiri daripada 830 projek.

“Sehingga kini, 572 dan 102 projek telah disiapkan masing-masing pada 2021 dan 2022.

Sehingga 3 November 2022, RM61.71 juta (47.02 peratus) telah diagihkan untuk 218 projek infrastruktur seperti penambahbaikan jalan dan saliran, penambahbaikan kawasan pantai, menaik taraf pasar, penyediaan lampu jalan, lampu isyarat, tandas awam, perpustakaan awam, pengindahan bandar dan landskap serta kemudahan luar bandar.

“Baki 144 dan 728 projek untuk 2021 dan 2022 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan.

“Sejak 2018, 314 projek telah diluluskan di bawah Projek Rakyat daripada Kerajaan Sarawak dengan jumlah peruntukan RM1.81 bilion untuk kementerian saya.

“Pada 2022, terdapat 14 projek diluluskan dengan nilai keseluruhan RM224.6 juta dan projek-projek ini dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Sehingga kini, 188 projek telah disiapkan manakala 126 sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.

Menurut Dr Sim, selain itu program penyelenggaraan jalan yang kerap amat diperlukan untuk memastikan jalan sedia ada dalam keadaan optimum.

Katanya pada tahun ini, sejumlah RM305.2 juta telah diluluskan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) untuk menyelenggara jalan negeri termasuk perabot jalan, bahu jalan, longkang tepi jalan dan sebagainya di kawasan PBT.

Beliau memaklumkan sehingga 31 Oktober 2022, RM241.8 juta telah diagihkan.

Dr Sim berkata selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan memperuntukkan RM32.7 juta pada 2022 untuk 26 PBT di Sarawak untuk melaksanakan 238 kemudahan awam minor, kemudahan awam dan projek infrastruktur.

“Di bawah Program Pembasmian Miskin Bandar (PPKB), pada 2022 KPKT memperuntukkan RM7.45 juta untuk membaiki 438 rumah di Sarawak.

“Kementerian saya akan terus membida untuk mendapatkan lebih banyak pembiayaan di bawah program ini untuk tahun 2023,” katanya.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281569474747835

Borneo Post