Utusan Borneo

IJBEL bantu Kerajaan Sarawak capai beberapa PCDS 2030

Jurnal Antarabangsa Acara Perniagaan dan Legasi (IJBEL) membantu Kerajaan Sarawak mencapai beberapa Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan menyasarkan sektor ekonomi dan pemboleh ubah tertentu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, di bawah pengupaya PCDS Pendidikan dan Modal Insan, IJBEL membantu mengoptimumkan modal insan Sarawak dan menghasilkan tenaga kerja yang cemerlang di peringkat global.

“Ini juga termasuk mempromosikan keusahawanan. Manakala di bawah penggerak PCDS Inovasi, jurnal itu dapat memanfaatkan penyelidikan dan pengkomersilan dalam memacu inovasi global.

“Seterusnya melalui IJBEL, hasil penyelidikan digunakan untuk aktiviti ekonomi lebih mesra alam yang boleh mencapai pengiktirafan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Persidangan ‘Business Events Tribal Meet’ ketiga (TriBE Assembly) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam. Jelasnya, IJBEL juga mencapai nombor keempat dalam Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (matlamat pembangunan mampan) dan nombor 17 (perkongsian matlamat).

Selain itu, jilid pertama IJBEL yang dilancarkan secara rasmi semalam katanya, merupakan jurnal akademik pertama di dunia yang memfokuskan kepada acara perniagaan dan legasi, yakni pengamal acara dan pelancongan, penyelidik dan pelajar boleh mendapat pemahaman berkaitan industri daripada perspektif pelbagai disiplin.

Dalam pada itu, Karim menyatakan bahawa kementeriannya berikrar memacu pembangunan komuniti, ekonomi dan alam sekitar yang positif daripada acara perniagaan dan mengetuai 300 perwakilan daripada TriBE Assembly sebagai duta acara perniagaan Sarawak.

“Kita akan menyediakan sebanyak mungkin sumber untuk membantu acara (perniagaan) supaya lebih banyak memberi impak kepada masyarakat dan lebih hijau untuk alam sekitar,” katanya.

TriBE Assembly semalam menyaksikan Sarawak cuba mendapatkan 1,245 acara perniagaan menjelang 2030 dengan membangunkan langkah selanjutnya dalam memberi impak legasi dan kemampanan di barisan hadapan sektor itu.

Bertemakan Reimagine Our Future, impak warisan dan kemampanan acara perniagaan merupakan topik utama TriBE Assembly.

Untuk maklumat lanjut tentang TriBE Assembly, e-mel Dylan Redas Noel di drnoel@sarawakcb.com.

Untuk maklumat lanjut tentang impak dan kemampanan warisan, e-mel Rose Bruce di rose@sarawakcb. com. Untuk maklumat tentang IJBEL, e-mel Geoffrey Lee di geoffrey@ sarawakcb.com.

Lawati ijbel.businesseventssarawak.com untuk mengetahui lebih lanjut tentang jurnal.

Hadir sama adalah Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting dan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Hii Chang Kee, Rektor UiTM Sarawak Profesor Dato Dr Jamil Hamali dan Ketua Pegawai Eksekutif Acara Perniagaan Sarawak (BES) Amelia Roziman.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281578064682427

Borneo Post