Utusan Borneo

Sembilan Projek Rakyat akan dilaksana melibatkan peruntukan RM271 juta

Sebanyak sembilan Projek Rakyat akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM271 juta.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, daripada jumlah itu, dua projek sedang dijalankan.

“Dua projek ini melibatkan menaik taraf kerjakerja infrastruktur untuk Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Igan dan RSP SPK Tian Matu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di sini, semalam.

Manakala baki tujuh projek lagi katanya, adalah di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan 421 unit RSP dalam SPK di Kuching, Kota Samarahan, Betong, Mukah dan Limbang.

Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dr Sim memaklumkan bahawa Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah diperuntukkan siling sebanyak RM398 juta bagi pelaksanaan 31 projek fizikal dan tiga projek bukan fizikal di negeri ini.

31 projek fizikal terdiri daripada kerja-kerja pembentukan tapak, kerja-kerja infrastruktur dan kerjakerja bangunan untuk 1,568 unit rumah mampu milik dan Rumah SPEKTRA Permata (RSP).

“Manakala tiga projek bukan fizikal melibatkan pengeluaran hak milik strata untuk flat HDC, geran untuk Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd dan tinjauan mengenai keperluan dan permintaan perumahan di Sarawak,” jelasnya.

Sehingga kini, katanya empat projek fizikal telah disiapkan dan ia adalah projek perumahan Darul Hana di bawah Blok 1A dan 2A melibatkan 504 unit rumah mampu milik dan SPK di Lingga, Igan dan Tian melibatkan 52 unit RSP.

“Sementara lima projek sedang berjalan melibatkan pembinaan 188 unit rumah mampu milik dan 192 unit RSP di Kuching, Miri, Limbang, Bekenu dan Betong,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, kementeriannya akan memohon lebih banyak pembiayaan daripada kerajaan persekutuan untuk menyediakan rumah mampu milik bagi golongan B40.

“Pada masa ini, hanya terdapat satu projek yang sedang dibiayai persekutuan iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR) Seduan di Sibu yang melibatkan pembinaan 461 rumah teres satu tingkat.

“Projek ini dijadualkan siap pada Ogos 2023,” ujarnya.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281582359649723

Borneo Post