Utusan Borneo

Anwar diharap terus tegak keterangkuman, dasar ekonomi kepada semua

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap terus menegakkan keterangkuman dan dasar ekonomi kepada semua.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 baru sahaja tamat, Perdana Menteri telah pun dilantik dan kerajaan perpaduan dibentuk menurut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Fatimah berkata kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia menyeru kerajaan perpaduan bagi mengelak sebarang kemelut politik negara, amat bertepatan dengan lima teras Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan UndangUndang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

“Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada

PRU15 yang baru sahaja selesai. Apapun rakyat mesti mengelakkan kebencian kaum dan agama.

“Kita mesti memupuk perpaduan dan keharmonian sosial sejak dari zaman prasekolah untuk memupuk nilainilai hormat dan persefahaman dan kementerian kita telah melakukan sedikit sebanyak perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Fatimah berkata Sarawak mahu meneruskan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, bersatu dalam kepelbagaian dan mencapai kesejahteraan sosial yang lebih tinggi agar Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat semula di mata rakyat dan dunia.

Katanya, selama ini Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyokong slogan ‘Sarawak Diutamakan’, bukan kerana berfikiran sempit tetapi kerana Sarawak telah terlalu lama ketinggalan walaupun terdapat hak dan keistimewaannya termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu pada sidang media selepas ucapan penggulungan Fatimah berkata, dalam usaha kementerian menyelaraskan kaedah yang lebih baik untuk orang ramai menyemak dan menerima insentif dan bantuan kerajaan merentas semua demografi, satu portal iaitu iSarawakCare dicadangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.

Katanya menepati slogan ‘One Click At Your Service’, portal iSarawakCare disepadukan dengan sistem sedia ada di Sarawak seperti SarawakNet, SarawakID, Perbendaharaan Negeri, bank serta sistem kerajaan persekutuan untuk memudahkan proses merentas semua platform yang terlibat.

“Ia telah menjadi tonggak utama bagi usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti dalam digital dengan membolehkan akses satu titik mudah kepada semua inisiatif kementerian melalui sistem saling kendalian data yang serba boleh.

“iSarawakCare dibangunkan bersama kementerian, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU) dan SOCOE Sdn Bhd dalam usaha kementerian mendigitalkan semua perkhidmatan utama ke dalam aplikasi dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, platform itu mengandungi maklumat mengenai bantuan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, KanakKanak dan Kesejahteraan Komuniti.

Hadir sama sidang media, dua timbalan menterinya, Datuk Rosey Yunus dan Mohd Razi Sitam.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281599539518907

Borneo Post