Utusan Borneo

Kampung Mujat, Serian dibangun sebagai kawasan penanaman padi sawah

Kawasan seluas 80 hektar di Kampung Mujat, Serian akan dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi sawah dengan kos RM4.5 juta.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, tender untuk projek itu akan dikeluarkan pada tahun depan.

Beliau berkata selain Kampung Mujat, kawasan baharu berpotensi dikenal pasti dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi di Sarawak berskala besar ialah SelepongPanggil di Sri Aman.

Menurutnya projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan 600 hektar akan dibangunkan bagi tujuan itu.

“Apabila (projek ini) siap, projek ini berpotensi mengeluarkan hasil dua kali ganda iaitu 5,400 tan metrik setahun,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi M-FICORD pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Dr Rundi berkata bagi Projek Jelapang Padi Batang Lupar pula, ia dibangunkan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar dan ketika ini infrastruktur utama di Lingga-Banting sedang giat dilaksanakan.

Projek itu katanya, dijangka siap pada suku pertama 2024 dan melibatkan kos keseluruhan RM102.5 juta.

“Apabila projek ini siap nanti, pembangunan kawasan seluas 920 hektar yang diusahakan dijangka mengeluarkan hasil dua kali ganda iaitu 7,400 tan metrik padi setahun,” katanya.

Dr Rundi berkata bagi memastikan bekalan padi mencukupi dan mengurangkan kebergantungan kepada import, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak ketika ini sedang ‘memulihkan’ dan menaik taraf dua skim penanaman padi sedia ada di bawah jabatan itu.

Termasuk Skim Tanjung Purun dan Skim Kampung Pueh melibatkan kawasan seluas 200 hektar dengan kos RM3.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Satu lagi projek yang telah diluluskan untuk infrastruktur dinaik taraf oleh JPS Sarawak ialah pemulihan Skim Mid-Sadong I dengan kos RM30 juta melibatkan lebih 500 hektar dan ia dalam peringkat perancangan.

“Di bawah skim ini, kirakira 100 hektar kawasan di Kampung Lubok Punggor akan digunakan sepenuhnya bagi penanaman padi jenis Biris.

“Pembangunan projek ini dijadualkan bermula pada suku pertama 2023.

“Selain itu, seluas 90 hektar kawasan padi sedia ada di Lebor, bahagian Serian juga akan dipulihkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak dan setakat ini, 30 hektar telah dibangunkan.

“Satu lagi kawasan di Abok, Pantu di bahagian Sri Aman, yang meliputi kawasan seluas 120 hektar juga sedang dirancang untuk dinaik taraf di bawah RMK12,” katanya.

Sementara itu pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungannya, Dr Rundi berkata kerajaan perlu berbelanja lebih tinggi untuk mendapatkan hasil pengeluaran lebih banyak khususnya berkaitan sekuriti makanan negeri.

“Kita terpaksa berbelanja lebih untuk mengeluarkan hasil yang lebih banyak. Tanaman-tanaman tertentu seperti padi misalnya kita tiada pilihan demi sekuriti makanan.

“Pulangannya (padi) mungkin tidak sebaik kelapa sawit, tetapi kita tidak boleh membiarkan ia begitu sahaja, kerana ia makanan ruji kita, mungkin dalam tempoh jangka panjang orang atau negara luar tidak mahu menjual kepada kita dan BERNAS mungkin tidak dapat menangani masalah ini.

“Oleh sebab itulah, kita mesti mengenal pasti kawasan yang berpotensi di Sarawak untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi utama,” ujarnya.

Justeru tegas beliau, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri menerusi M-FICORD perlu seimbang antara sekuriti makanan dan industri makanan.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281633899257275

Borneo Post