Utusan Borneo

Sarawak sokong 123 acara, festival dengan geran RM29 juta

Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan telah menyokong sebanyak 123 acara dan festival di Sarawak dengan jumlah geran sebanyak RM29,310,549 pada tahun ini.

Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini termasuk geran untuk industri kreatif seperti filem, telemovie, dokumentari dan muzik atau muzik video.

“Kementerian saya dengan kerjasama agensi lain dan pemain industri pelancongan telah berjaya menyokong banyak acara dan festival pelancongan melalui geran sokongan acara.

“Acara yang diadakan ini mampu menarik lebih ramai pengunjung masuk dan menjana pusingan balik ekonomi untuk masyarakat tempatan dan menarik perhatian media antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang diadakan pada Jun tahun ini, katanya telah berakhir dengan cemerlang.

“Ia (RWMF) mendapat sambutan yang melebihi sasaran awal pengunjung dan menunjukkan jalan positif ke arah pemulihan bagi industri pelancongan Sarawak.

“RWMF tahun ini yang diadakan secara hibrid telah merekodkan 16,049 jumlah kehadiran fizikal sepanjang tiga hari festival itu berlangsung,” katanya.

Manakala untuk capaian digital Abdul Karim memberitahu, Borneo Jazz 2022 telah memperoleh sejumlah lebih 27.43 juta tanda suka dengan lebih 67,000 klik unik direkodkan sepanjang acara dengan kumpulan umur 25 hingga 45 tahun berjumlah 88 peratus.

“Sementara Borneo Music Festival yang diadakan tahun ini juga telah menarik seramai 14,000 penonton,” ujarnya.

Selainitukatanya,kementerian turut menyokong banyak acara sukan antarabangsa iaitu Kuching Marathon, Spartan Race, Borneo Trail Classic, Dekafit, Sarawak International Dragon Boat Race dan banyak lagi.

“Selepas dua tahun pandemik, banyak acara ikonik dan besar telah kembali ke negeri ini dan disokong oleh kementerian.

“Selain acara antarabangsa dan kebangsaan, kementerian saya juga telah bekerjasama dengan Kumpulan Petugas Pelancongan Bahagian, majlis tempatan dan organisasi tempatan untuk menyokong banyak acara pelancongan, seni dan budaya tempatan sepanjang 2022,” katanya.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281638194224571

Borneo Post