Utusan Borneo

Sarawak miliki 276 Pusat Pembangunan Sukan dengan 6,032 atlet

Sarawak kini mempunyai 276 Pusat Pembangunan Sukan dengan jumlah atlet seramai 6,032 orang, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, pusat-pusat itu diwujudkan di kemudahan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), sekolah dan premis swasta dengan dibantu 339 jurulatih daripada pelbagai disiplin.

“Antara pusat pembangunan ini, terdapat 201 Pusat Elit Permulaan dengan 4,368 atlet yang dibimbing oleh 220 jurulatih.

“Di pusat ini, para atlet diajar dan dilatih dengan kemahiran asas. Kemudian, mereka akan dinilai oleh jurulatih sama ada mereka telah menguasai kemahiran yang diperlukan sebelum dinaikkan ke peringkat kemahiran latihan seterusnya,” kata beliau.

Abdul Karim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara di Pusat Elit Cemerlang (PEC) pula, katanya, atlet dilatih untuk memperoleh kemahiran dalam aspek teknikal dan taktikal untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Katanya, sekarang Sarawak ada 75 PEC dengan jumlah keseluruhan 1,664 atlet dan 119 jurulatih.

“Mereka ini yang akan mewakili Sarawak untuk bertanding dalam Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang selain menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa yang lain,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, SSC telah menjalankan beberapa siri program pada tahun ini antaranya, Program Pembangunan Bakat di mana seramai 712 atlet muda daripada 16 sukan berbeza telah diiktiraf semasa menjalankan program itu.

“Turut diadakan adalah beberapa kursus dan program sains sukan di pelbagai peringkat di seluruh Sarawak serta program pendidikan untuk para jurulatih,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kementeriannya telah berjaya menganjurkan beberapa siri kejohanan atau pertandingan di peringkat negeri.

“Antara kejohanan yang telah berjaya dianjurkan ialah Liga Bola Sepak SSCFAS ke-2 2022 dari Julai hingga Disember 2022, Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) Ke-2 2022 dari awal November hingga Disember 2022 dan Sirkit Badminton Junior SSC Sarawak pertama sepanjang tahun.

“Pada bulan Jun hingga Disember 2022, 1st Hornbill Indoor Hockey League 2022 dan 1st SSC Swimming Tournament Legs diadakan di seluruh negeri,” katanya.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281642489191867

Borneo Post