Utusan Borneo

Kerjasama rapat dengan agensi pembangunan untuk laksana projek pelancongan: Abdul Karim

Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bekerjasama rapat dengan Agensi Pembangunan Wilayah untuk melaksanakan projek pelancongan menerusi pembiayaan alternatif.

Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk 36 projek pelancongan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Samarahan (IRSDA) berjumlah RM109,400,000.

“Selain itu 19 projek pelancongan berjumlah RM105,035,000 di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan pada Persidangan DUN semalam.

Tambahnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12), kementerian telah mencadangkan banyak produk baharu termasuk penambahbaikan kepada taman negara, kawasan dermaga awam dan ruang rekreasi.

Katanya, pelancongan warisan merupakan satu lagi penekanan di mana banyak muzium dan kubu lama akan dinaik taraf dan dibuka kepada pengunjung.

Menurut beliau, kementeriannya telah diperuntukkan RM472.33 juta di bawah peruntukan negeri dan menerima RM14.86 juta daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melaksanakan pelbagai projek.

Dalam tempoh ini, kementerian beliau katanya, telah menyiapkan projekprojek berikut berjumlah RM388.20 juta yang telah menjadi produk pelancongan baharu di Sarawak.

Abdul Karim berkata industri pelancongan memerlukan aspek yang diperbaharui untuk pelancongan Sarawak menarik pengunjung kembali dan baharu.

“Pembangunan produk adalah sangat penting untuk menarik pelawat baharu dan mengekalkan pelawat yang kembali.

“Dengan lebih banyak produk pelancongan, ia juga akan membantu memanjangkan penginapan pelawat di Sarawak sambil memperkayakan pengalaman pelawat untuk menikmati budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival yang unik di Sarawak,” katanya.

Katanya selain menyediakan geran acara kepada peserta, kementerian beliau juga menyediakan geran penyelidikan kepada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi atau universiti, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Ia katanya diberi kepada mereka yang bercadang menjalankan penyelidikan, kajian atau tinjauan dalam topik atau bidang berkaitan dan menyumbang kepada pembangunan pelancongan seni dan budaya Sarawak, yang terhasil dalam bentuk produk dan pakej pelancongan yang sedia untuk promosi dan pemasaran negeri.

Abdul Karim berkata sehingga kini, sebanyak 10 geran penyelidikan telah diberikan berjumlah RM2,820,016.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281655374093755

Borneo Post