Utusan Borneo

GIHDG dari China, firma pertama di luar Malaysia peroleh pensijilan MSPO

Grand Oils & Fats (Dongguan) Co. Ltd. (GIHDG) yang berpangkalan di China merupakan syarikat pertama di luar Malaysia yang memperoleh Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO SCCS).

Kejayaan syarikat itu adalah hasil daripada usaha Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM) China dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

“GIHDG telah dipersijilkan dengan MSPO SCCS sejak 21 Oktober 2022.

“PORTSIM China telah memulakan dan memudahkan sesi libat urus pada Disember 2021 yang menandakan permulaan pencapaian bersejarah ini,” kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam kenyataannya di sini, semalam.

“Dengan adanya sijil itu juga maka GIHDG kini boleh membekalkan produk yang diperbuat daripada minyak sawit yang dihasilkan secara mampan dengan yakin dan lebih dipercayai kepada pelanggan dan pengguna akhir mereka di seluruh dunia,” jelasnya.

GIHDG adalah syarikat pemprosesan minyak makan dan salah satu peneraju industri minyak dan lemak berasaskan tumbuhan di Republik Rakyat China.

GIHDG telah disahkan dan dianugerahkan Sijil MSPO SCCS oleh Bureau Veritas Certification (M) Sdn Bhd, badan pensijilan bertauliah di bawah Skim Pensijilan MSPO.

Manakala piawaian MSPO pula melengkapkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNSDG) 2030 terutama mengenai penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, kehidupan di darat, kebuluran sifar dan perubahan iklim.

“Bagi memastikan piawaian tersebut mampu menangani pengeluaran yang mampan, termasuk kebimbangan seluruh dunia terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan sosial, MSPO baru-baru ini telah menjalani semakan dan kini dikenali sebagai MSPO 2022.

“Platform MSPO Trace akan membantu rantaian nilai dengan menjejaki produk minyak sawit daripada sumbernya dan sepanjang rantaian bekalan,” jelas Dr Ahmad Parveez lagi.

MPOCC adalah agensi bebas bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada Disember 2014 bagi mengendalikan Skim Pensijilan MSPO.

Ia juga bertanggungjawab untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap Skim Pensijilan MSPO bagi membantu usaha dan komitmen industri sawit Malaysia khususnya pekebun kecil untuk menghasilkan minyak sawit mampan.

PORTSIM China ialah pusat penyelidikan dan pembangunan MPOB di Shanghai, China yang menyediakan perkhidmatan kepada industri sawit Malaysia dengan meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia oleh China melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan serta menyediakan perkhidmatan teknikal kepada pelanggan minyak sawit Malaysia.

China, sejak dahulu lagi kerap memperoleh produk sawitnya dari Malaysia dan ini dapat dilihat daripada statistik yang menunjukkan eksport produk sawit Malaysia ke China telah meningkat tiga kali ganda daripada 1.02 juta tan pada 2000 kepada 3.13 juta tan pada 2021.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281681143897531

Borneo Post