Utusan Borneo

88 menara 5G akan dipasang di seluruh bandar Sibu

Digital Nasional Berhad (DNB) akan memasang 88 unit menara 5G di seluruh bandar Sibu pada tahun depan.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata, MPS telah menghantar surat sokongan kepada DNB bagi menyokong pemasangan menara tersebut.

“Mereka (DNB) mahu pihak majlis menyokong (pemasangan menara 5G) kerana tempat mendirikan menara tersebut di atas kawasan tanah MPS.

“Ketika pemasangan menara sebelum ini mereka menerima aduan daripada penduduk, atas sebab itu pelaksanaan 5G lambat,” jelasnya kepada pemberita.

Jika tiada bantahan katanya, Sibu sudah pun mempunyai sambungan 5G dan masalah seumpama itu bukan sahaja berlaku di Sibu, malah di seluruh Sarawak.

“Menara 5G sebenarnya sangat kecil seperti tiang lampu rumah,” ujarnya.

Terdahulu, Ting telah mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MPS di bilik mesyuarat MPS, tingkat 24 Wisma Sanyan semalam.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281685438864827

Borneo Post