Utusan Borneo

Lelaki tidak mengaku curi besi dari tapak pembinaan gereja

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri 23 batang besi dari tapak pembinaan sebuah gereja di sini.

Fuzy Sandom, 39, dari Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, telah didakwa mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 379 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh mencuri 20 batang besi jenis Y12 dan tiga batang besi jenis T25 kepunyaan Sigau Lawai, 61.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.14 petang, 25 November lalu di tapak pembinaan Gereja BEM Baithani, Pujut 3 di sini.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.

Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi membenarkan permohonan itu dan menetapkan 28 Disember ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281771338210747

Borneo Post