Utusan Borneo

Dua perompak dipenjara lapan tahun, dikenakan tiga sebatan

Padah merompak sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM971 milik sebuah kedai dengan bersenjatakan sebilah pisau, dua sekawan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Afidah Abdul Rahman memerintahkan hukuman penjara bagi Mohd Ariffin Efendi, 21 dan Donavan Elison Impin, 26, untuk dikuatkuasakan mulai tarikh mereka ditangkap, pada 25 November lalu.

Kedua-dua penganggur lelaki terbabit mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Indonesia (pengadu) dengan bersenjatakan sebilah pisau pemotong sayur.

Dalam kejadian itu juga, Ariffin dan Donavan dilaporkan mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM971 milik kedai iaitu tempat pengadu bekerja.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan mereka di sebuah kedai terletak di Jalan Setia Raja di sini pada 23 November lalu, sekitar jam 4 pagi.

Berdasarkan keterangan kes, pengadu sedang bekerja sebelum dipanggil oleh dua lelaki (tertuduh) tidak dikenali untuk datang ke meja makan yang terletak di kaki lima.

Salah seorang tertuduh kemudiannya mengacukan sebilah pisau pemotong sayur terhadap pengadu dan bertindak menarik beg sandang milik pengadu.

Kedua-dua lelaki tersebut seterusnya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta kompak.

Laporan polis dibuat dan hasil siasatan mendapati pengadu dapat mengecam kedua-dua tertuduh.

Perkara ini dikukuhkan lagi dengan keberadaan kamera litar tertutup (CCTV) di

lokasi kejadian.

Terdahulu sebelum dijatuhi hukuman, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing memohon agar tidak dijatuhi hukuman berat dengan alasan mereka merupakan pencari nafkah untuk keluarga, selain menyesali perbuatan

tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff bagaimanapun memohon agar dua sekawan itu dijatuhi hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam, berat kesalahan dilakukan dan kekerapan kes.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281788518079931

Borneo Post