Utusan Borneo

AKIPP 2022 iktiraf kecemerlangan PdP tenaga pengajar UMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan sumbangan dan kecemerlangan ahli akademik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (AKIPP) 2022 barubaru ini.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif penganjuran program itu bertujuan memupuk budaya kreatif dan inovatif ahli akademik agar konsep penyampaian yang bersifat transformatif serta fleksibel dapat dibentuk.

Katanya, ia selari dengan perkembangan teknologi yang pesat dalam aktiviti PdP masa kini.

“Ini adalah penting dalam memastikan warga pendidik UMS sentiasa proaktif dalam memperbaharui kaedah

penyampaian pengajaran mereka agar kekal relevan dalam arus revolusi industri keempat (IR4.0).

“Para pensyarah adalah ejen yang paling penting

dalam merealisasikan visi UMS ini dengan membentuk pengalaman pembelajaran yang berinovatif,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.

Menurutnya, ‘Innovation will breed innovation’, iaitu dengan pengalaman pembelajaran berinovatif yang direka bentuk oleh pendidik UMS inilah yang

akan membibitkan tabiat berinovasi dan kreatif dalam kalangan mahasiswa UMS itu sendiri.

Beliau juga berharap agar platform serta pengiktirafan yang diberikan kepada para tenaga akademik melalui AKIPP akan menjadi pemangkin untuk terus berinovasi dalam memantapkan pengajaran dan pembelajaran di UMS.

AKIPP 2022 menerima sebanyak 31 penyertaan melibatkan enam fakulti, akademi dan pusat yang terdiri daripada Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dan Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST).

Sebanyak 31 penyertaan diterima melibatkan enam fakulti, akademi dan pusat di UMS dengan lapan kategori anugerah dipertandingkan pada AKIPP 2022.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Prof. Dr. Rasid Mail dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kcemerlangan Akademik (PPKA) UMS Dr. Denis Andrew D. Lajium.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281822877818299

Borneo Post