Utusan Borneo

Wujudkan Majlis Daerah Kalabakan: Hassan

Bagi menyediakan khidmat PBT serta membantu tingkatkan ekonomi daerah

Oleh Yap Siong Han

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dicadang supaya mewujudkan Majlis Daerah Kalabakan bagi menyediakan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, sudah tiba masanya untuk perkara itu diambil perhatian sejajar kedudukannya sebagai sebuah daerah penuh.

Katanya, dengan adanya PBT, ekonomi daerah itu akan lebih berkembang dan mampu menyumbang kepada pendapatan negeri secara keseluruhan.

“Saya yakin bahawa sebagai sebuah daerah penuh dan dikelilingi oleh ladangladang syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Begitu juga dengan kepadatan penduduk yang semakin meningkat, sudah pastinya Pejabat Daerah Kalabakan bakal mendapat kutipan hasil yang mampu membangunkan Daerah Kalabakan itu sendiri,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023.

Beliau juga meminta kerajaan agar memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di Pulau Sebatik agar tidak ketinggalan berbanding di bahagian pulau yang berada dalam wilayah Indonesia.

“Mewakili rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN)

Sebatik, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dengan rancangan untuk pelaksanaan pekan baharu Kalabakan dan Sungai Melayu di Pulau Sebatik yang pastinya memberi nafas baharu buat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, baru-baru ini, sebuah jeti kegunaan penduduk beberapa kampung, terpaksa dirobohkan atas faktor keselamatan.

Berikutan itu, pihaknya merayu kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga

Sabah yang memperolehi peruntukan RM21.88 juta pada tahun depan agar dapat membantu untuk membina jeti konkrit berskala sesuai.

Katanya, ia bukan saja memastikan kemudahan infrastruktur untuk pulau itu diperbaiki, malah mampu dibanggakan apabila orang luar dan pelancong melihat jeti di setiap kampung di pulau Sebatik.

Dalam soal ekonomi, Hassan turut mencadangkan satu program transformasi nelayan moden dilaksanakan di Sebatik melalui penyediaan geran untuk pembinaan kapal yang dianggotai lima orang nelayan secara perkongsian di bawah program bantuan yang diperuntukkan RM69.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan.

“Pastinya dengan bot yang lebih besar, membolehkan mereka mendapatkan hasil lebih baik dan mampu menyaingi pukat tunda yang semakin rakus melangkaui zon atau kawasan yang dilarang menunda pukat mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu usaha bersepadu diambil bagi membantu pekebun kecil sawit di kawasan pulau di seluruh Sabah, terutama di Pulau Sebatik yang mana ketika ini terpaksa menjual hasil sawit kepada syarikat swasta setempat dengan harga lebih rendah berbanding dengan harga jualan di tanah besar.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281848647622075

Borneo Post