Utusan Borneo

Pelajar autisme dinobat penerima Anugerah Pingat Emas USM

Seorang siswazah lelaki yang menghidap autisme (hiperaktif) sejak berusia dua tahun Ooi Ivan, 24, tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) (anugerah bagi graduan cemerlang kelainan upaya) pada Konvokesyen ke-60 universiti itu yang akan berlangsung dari 3 Dis hingga 14 Dis ini.

Beliau yang mesra disapa Ivan, 24, berkata beliau berhadapan dengan masalah sukar menumpukan perhatian dalam tempoh yang lama terutama ketika sedang mengikuti kelas malah kerap gelisah namun ia tidak menghalangnya untuk terus belajar hingga ke USM.

Merupakan anak sulung daripada dua beradik, beliau walaupun mudah resah anak kelahiran Perai, dekat sini itu berkata dia mampu untuk mengikuti dan fokus setiap kelas selama sejam malah berterima kasih kepada pensyarah di USM yang turut memberi lebih tumpuan kepadanya.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL) berkata persekitaran USM yang mesra orang kurang upaya (OKU) juga banyak membantunya ketika berdepan masalah menumpukan pembelajaran.

“Cabaran terbesar saya mengikut pengajian di USM ialah saya mudah resah dan sukar tumpukan perhatian di dalam waktu yang lama dalam kelas malah emosi saya juga tidak stabil sekiranya berada di dalam kawasan yang ada ramai orang.

“Bagaimanapun, saya mampu mengikuti setiap kelas selama empat tahun dan memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.72. Pensyarah dan rakan-rakan mungkin nampak saya tidak fokus tetapi sebenarnya saya masih mampu fokus jadi semasa peperiksaan saya akan meminta jasa baik USM untuk meletakkan saya di bilik berasingan,” kata beliau yang fasih berbahasa Melayu pada sidang akhbar bersempena Konvokesyen ke-60 USM, di sini semalam.

Ivan yang bercita-cita menjadi seorang guru berkata beliau juga sangat terhutang budi kepada kakitangan USM yang sangat berdedikasi dan banyak membantu sepanjang bergelar pelajar di universiti itu.

Seorang lagi graduan cemerlang yang memperoleh Hadiah Pingat Emas Canselor (anugerah pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan), Arief Ferdaus Azmi, 22, berkata beliau berterima kasih kepada kedua ibu bapanya dan bersyukur kerana dapat mengikuti Sarjana Muda Bahasa Inggeris untuk Profesional itu sehingga berjaya dinobatkan sebagai antara graduan cemerlang USM.

Anak sulung daripada empat beradik berkata jurusan itu dipilih oleh ibunya, Norliza Abdul Rahman, 50-an yang mahu dia belajar dalam bahasa Inggeris kerana ibunya melihat dia mahir dalam bahasa berkenaan.

“Alhamdulilah saya bersyukur kerana mengikut pilihan ibu dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Inggeris untuk profesional, mungkin lepas ini saya akan sambung ke peringkat sarjana di universiti luar negara,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Selain Ivan dan Arief, Muhammad Nasri Nasehir Khan, 23 turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi pelajar terbaik kategori bumiputera dan Siek Jia Wen, 24 untuk pelajar terbaik kategori bukan bumiputera.

Bagi Anugerah Pingat Emas Naib Canselor untuk pemimpin pelajar cemerlang pula, ia dianugerahkan kepada Farah Zahidah Abdul Halim yang berusia 22 tahun.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi (P&I) USM Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata upacara konvokesyen ke-60 yang merangkumi 12 sidang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra USM dengan sidang pertama melibatkan 478 graduan akan menerima ijazah masing-masing oleh Raja Perlis yang juga Tuanku Canselor, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 10.30 pagi, Sabtu ini.

Katanya pada konvokesyen kali ini, seramai 7,280 graduan akan menerima ijazah masingmasing termasuk dua orang untuk gelaran Profesor Emeritus, 493 orang untuk Ijazah Tinggi (Doktor Falsafah), 1,732 orang untuk Sarjana, 4,984 orang untuk Ijazah Sarjana Muda dan 69 orang untuk Diploma Kejururawatan.

“USM turut mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada semua graduan berkaitan penutupan Jambatan Pulau Pinang bersempena Larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2022 yang berlangsung pada 11 Dis ini bermula dari 1.30 pagi hingga 9 pagi.

Graduan dan tetamu graduan dari luar Pulau Pinang yang akan menghadiri sembilan sidang upacara konvokesyen dipohon untuk menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (jambatan kedua) dan hadir lebih awal untuk mengelakkan kesesakan,” katanya. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281900187229627

Borneo Post