Utusan Borneo

Galas tanggungjawab berasaskan Rukun Negara: Majlis Raja-Raja

PM, MB perlu dukung dan memperkukuh prinsip-prinsip Rukun Negara

KUALA LUMPUR: Majis Raja-Raja menyeru agar Perdana Menteri dan Menteri Besar di setiap negeri memikul tanggungjawab dan menggalas peranan besar berasaskan prinsip digariskan dalam Rukun Negara.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah kerajaan baharu perlu mendukung dan memperkukuh prinsip-prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin pada 1970.

Titah Tuanku Muhriz, semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara hendaklah menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja.

Sehubungan itu, Baginda mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis bersesuaian yang diketuai pemimpin dilantik dan bukan lagi dalam kalangan belia bersuara lantang.

“Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia,” demikian menurut titah perutusan Tuanku Muhriz sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berlangsung di Istana Negara, hari ini

Terdahulu, Tuanku Muhriz mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari, bermula kelmarin.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja dan Sultan negeri-negeri turut berkenan berangkat hadir pada mesyuarat itu, yang juga dihadiri Yang Dipertua Negeri

Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Tuanku Muhriz turut menyeru kerajaan baharu memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya.

“Beta berharap supaya tiada lagi pemimpin yang

membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.

“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi,” titah Baginda.

Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu KeluhuranPerlembagaandan Kedaulatan Undang-Undang amat penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. — Bernama

Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281908777164219

Borneo Post