Utusan Borneo

Segerakan perolehan MRSS: PAB Yazid

Perolehan dua kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) yang dijangka diterima pada 2024 perlu disegerakan bagi memastikan pengoperasian aspek keselamatan dan pertahanan negara berjalan lancar, kata Panglima Angkatan Bersama (PAB) Lt Jen Datuk Yazid Arshad.

Beliau berkata perolehan itu perlu dipastikan tidak tergendala supaya pelaksanaan operasi lebih efektif memandangkan usia kapal sedia ada sudah hampir 40 tahun.

“MRSS ini sememangnya amat penting bukan sahaja kepada TLDM itu sendiri malahan di peringkat ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan juga negara.

“Aset ini penting bagi memastikan keperluan operasi logistik serta sokongan bantuan kemanusiaan dan bencana alam atau lebih dikenali sebagai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di dalam dan di luar negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Tali Kapal Diraja (KD) Mahawangsa sempena pelayaran ke Lubnan bagi ulang bekal Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-10.

Yazid berkata bagi memantapkan lagi pengoperasian, TLDM memerlukan

sekurang-kurangnya empat MRSS iaitu masing-masing dua di Armada Barat (Lumut) dan Armada Timur (Sabah).

Pada September 2021, Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam jawapan bertulis di Parlimen telah menggariskan beberapa perkara tentang perolehan aset-aset baharu untuk ATM, antaranya kerajaan akan melakukan perolehan sebanyak dua MRSS untuk TLDM.

Ia bagi memenuhi keperluan operasi ATM menerusi kemampuan strategic sealift (kapal kargo tentera strategik) antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, seramai 203 pegawai dan anggota ATM melaksanakan pergerakan ulang bekal MALBATT bagi menjalankan misi Pasukan Interim Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Mereka terdiri daripada 18 pegawai, 169 anak kapal dan 16 petugas bantuan sokongan yang diketuai Kapt Mohd Amin Mat Tahir TLDM.

Penugasan itu turut melibatkan penerimaan aset tambahan iaitu enam trak tiga tan GS Cargo, dua trak satu tan ambulans serta barangan kegunaan aktiviti kerjasama awam dan tentera (CIMIC). — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281917367098811

Borneo Post