Utusan Borneo

Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260

— Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara, semalam.

Mesyuarat itu semalam sekali lagi dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, di sini.

Mesyuarat selama dua hari bermula kelmarin itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lepas yang dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, selain dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir pada mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier. — Bernama

MESYUARAT AGONG: Al-Sultan Abdullah Riayatuddin (kiri) berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja Raja ke-260 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281925957033403

Borneo Post