Utusan Borneo

Guru hidap kanser tekad tamatkan PHD demi pelajar

Demi menjadi inspirasi kepada pelajarnya, seorang guru dari Beaufort, Sabah tekad menyelesaikan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) walaupun sedang bertarung dengan kanser limfoma tahap empat.

Dr Syahrin Awang Besar, 50, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort berkata beliau hampir berputus asa dan hilang semangat apabila disahkan menghidap penyakit itu Januari lepas.

Katanya, saat tersebut beliau umpama dijatuhkan hukuman mati sehingga beliau melupakan seketika pengajiannya dalam bidang bahasa Melayu itu yang sudah pun pada peringkat akhir.

“Ketika itu, saya sudah selesai pembentangan viva dan tesis saya memerlukan sedikit pembetulan, namun saat menerima perkhabaran saya disahkan sebagai pesakit kanser, semuanya seolaholah terhenti dan ketika itu saya langsung tidak menyentuh tesis saya.

“Namun apabila mengenangkan pelajar saya, saya tahu saya kena jadi suri teladan kepada mereka bahawa walau apa jua keadaan kita, kesihatan mahupun ekonomi, pelajaran perlu diutamakan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 (Sidang Dua) di sini, semalam.

Syahrin, yang telah 28 tahun berkhidmat di sekolah

itu, berharap usaha tersebut menjadi motivasi kepada para pelajarnya yang ada dalam kalangan mereka terpaksa ponteng sekolah kerana mencari pendapatan sampingan untuk keluarga dengan kerja seperti mengait kelapa sawit atau menjadi nelayan.

Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pro-Canselor UPM berkenan mengurniakan PhD, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada 834 graduan pada istiadat itu.

Sementara itu, bagi pekerja swasta Mohd Nazim Abdul Karim, 43, beliau terdorong untuk menyambung pengajian

dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan selepas melihat isterinya, Masuri Mokhtar, 40, ditawarkan kursus yang sama setelah berjaya mendapat Hadiah Latihan Persekutuan.

Bapa kepada empat anak berusia lingkungan dua hingga 17 tahun itu berkata beliau dan isterinya yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, saling membantu menyiapkan tugasan akademik dan menguruskan keluarga.

Katanya, meskipun dalam kelas yang sama, mereka tetap bersaing secara sihat untuk menjadi pelajar terbaik. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281930252000699

Borneo Post