Utusan Borneo

PM Perancis beri amaran gelombang baharu COVID-19

Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne kelmarin memberi amaran mengenai kemunculan semula wabak COVID-19 di Perancis, sambil memaklumkan “lebih 40,000 kes baharu” dikesan di negara itu setiap hari.

Bercakap ketika Perhimpunan Kebangsaan Perancis, Borne menyuarakan kebimbangan mengenai kadar vaksinasi dos penggalak yang rendah dalam kalangan mereka yang dianggap berisiko tinggi, serta memberi amaran bahawa COVID-19 “masih boleh membunuh”, lapor Xinhua.

Hanya 10 peratus daripada golongan berisiko tinggi telah mendapatkan suntikan penggalak, katanya.

“Wabak COVID-19 telah kembali,” dengan kadar kemasukan ke hospital meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh satu minggu, kemasukan ke unit kritikal mencatatkan peningkatan 22 peratus dan 400 kematian direkodkan akibat COVID19 minggu lalu.

Perdana menteri wanita pertama Perancis itu juga memberi amaran bahawa sistem hospital negara itu akan menghadapi “tekanan tambahan” susulan kemunculan semula COVID-19 di tengah-tengah penularan wabak selesema dan wabak bronkiolitis yang disifatkan terburuk melanda negara itu dalam tempoh 10 tahun.

Borne menyeru agar langkah pencegahan tertentu diperkenalkan semula termasuk pemakaian pelitup muka di kawasan sesak. — Bernama

Dunia

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281943136902587

Borneo Post