Utusan Borneo

Wagner Rusia mengakui pelajar Zambia maut bertempur di Ukraine

Ketua kumpulan tentera upahan Wagner di Rusia kelmarin mengakui seorang pelajar Zambia yang direkrutnya dari sebuah penjara Rusia telah terkorban dalam pertempuran di Ukraine.

Pengakuan oleh ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin, muncul dua minggu selepas Zambia menuntut penjelasan dari Moscow mengenai kematian rakyatnya.

Ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Kremlin itu berkata, Lemekhani Nathan Nyirenda yang berusia 23 tahun telah “meninggal dunia sebagai seorang wira” berjuang bersama dengan pasukan tentera Rusia.

“Lemekhani Nathan Nyirenda pada 22 September merupakan salah seorang yang pertama telah memecah masuk ke kawasan musuh, menunjukkan keberaniannya,” kata Prigozhin melalui perkhidmatan medianya di media sosial.

Prigozhin, yang pengaruhnya telah meningkat ketika serangan ke atas Ukraine oleh Kremlin, menyatakan dia “sangat mengingati lelaki ini dengan baik”.

Oligarki tegar itu dipercayai telah melawat penjara secara peribadi untuk merekrut pejuang.

Prigozhin merekrut Nyirenda dari sebuah penjara di wilayah Tver, di utara Moscow.

Dia mendakwa rakyat Zambia itu secara sukarela bersetuju untuk berjuang bersama dengan Wagner.

Menurut pihak berkuasa Zambia, Nyirenda telah melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan nuklear di Institusi Fizik Kejuruteraan Moscow.

Dia dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun dan enam bulan pada April 2020. Pihak berkuasa tidak menyatakan kenapa dia dipenjarakan.

Pada pertengahan November, Lusaka telah meminta Rusia agar segera memberikan maklumat mengenai punca kematian Nyirenda.

Dunia

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281964611739067

Borneo Post