Utusan Borneo

Suspek pembunuhan ‘beg pakaian’ hadir di mahkamah New Zealand

WELLINGTON: Seorang ibu berusia 42 tahun yang diekstradisi dari Korea Selatan hadir di mahkamah New Zealand buat kali pertama semalam, berdepan dengan dakwaan membunuh selepas mayat dua anaknya ditemui di dalam beg pakaian di Auckland.

Memakai sepasang jaket kuning air dan kemeja-T hitam, wanita itu hadir sekejap di Mahkamah Daerah Manukau, selatan Auckland, sehari selepas mendarat di negara ini.

Arahan dari mahkamah melarang media mendedahkan nama wanita itu atau anak-anaknya yang meninggal dunia. Namun Hakim Gus Andrée Wiltens membenarkan untuk melaporkan tentang fakta bahawa dia merupakan ibu mereka.

Suspek, yang berdepan dengan dua pertuduhan membunuh, telah ditahan reman tanpa membuat rayuan sehingga kehadirannya yang berikut di Mahkamah Tinggi Auckland pada 14 Disember.

Melalui seorang penterjemah, dia minta untuk bercakap dengan hakim, namun peguamnya sendiri yang membantah dengan menyatakan: “Saya fikir ia adalah lebih baik sekiranya dia tidak berbuat sedemikian.”

Hakim bersetuju dan defendan kemudian dibawa keluar dari mahkamah.

Perbicaraan diadakan kurang daripada 24 jam selepas defendan sampai di lapangan terbang Auckland dengan diiringi oleh polis selepas diekstradisi dari Korea Selatan.

Dia ditangkap oleh polis Korea di bandar pelabuhan Ulsan pada September, sebulan selepas polis New Zealand menemui mayat dua anaknya, berusia di antara lima dan 10 tahun.

Pada masa penahanannya, suspek beberapa kali memberitahu wartawan: “Saya tidak melakukannya” ketika dia dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan polis.

Mayat kanak-kanak itu dijumpai selepas sebuah keluarga yang tidak mencurigai membeli beg pakaian menerusi acara lelongan dalam talian bagi barangan terbiar.

Polis New Zealand berkata dua mayat itu yang terbiar dalam simpanan selama beberapa tahun telah merumitkan siasatan.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa keluarga yang menemui mayat itu tidak mempunyai kaitan dengan homisid dan telah diberikan kaunseling bagi membantu mereka menangani trauma.

Dunia

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281973201673659

Borneo Post