Utusan Borneo

Kris Wu dihukum penjara

BINTANG pop kelahiran China-Kanada, Kris Wu, dipenjara selama 13 tahun selepas didapati bersalah merogol, menurut sebuah mahkamah China barubaru ini.

Wu pada awalnya menjadi terkenal sebagai salah seorang anggota kumpulan K-pop EXO, sebelum meninggalkan kumpulan pada 2013 untuk melancarkan karier solo sebagai penyanyi, pelakon, model dan hakim rancangan hiburan.

Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun, Du Meizhu pada tahun lepas menuduh Wu merogolnya dengan mencemar minuman ketika dia berusia 17 tahun, menyebabkan pelbagai kritikan terbuka dan jenama terkenal menggugurkan penajaan mereka dengan Wu.

Wu dijatuhi hukuman sehingga “11 tahun dan enam bulan penjara kerana merogol”, kata mahkamah di daerah Chaoyang di Beijing, sambil menambah dia “juga dijatuhkan hukuman penjara satu tahun dan 10 bulan kerana jenayah mengumpul orang untuk melakukan zina”.

“Ia didapati bahawa defenden, Wu Yifan (Kris Wu) memaksa hubungan seks dengan tiga wanita di kediamannya dari November hingga Disember 2020 apabila mereka (mangsa) mabuk dan tidak tahu atau tidak dapat melawan,” kata mahkamah.

Wu akan menjalani hukuman penjara 13 tahun sebelum dihantar pulang, tambahnya.

Dia juga didenda

600 juta yuan kerana mengelak cukai, lapor agensi berita negara, Xinhua, merujuk kepada pihak berkuasa cukai Beijing.

Wu “menggunakan perniagaan palsu untuk mengubah pendapatan sebenarnya dan membuat pengisytiharaan palsu dan mengelak cukai sebanyak 95 juta yuan dengan menyembunyi pendapatan peribadi dari pelbagai penajaan domestik dan luar negara”, lapor Xinhua.

Dia juga “tidak membayar cukai tertangguh sebanyak 84 juta yuan,” tambah agensi berita itu.

Kementerian luar Kanada berkata ia “menyedari satu keputusan telah dibuat” dalam kes, sambil menambah bahawa pegawainya hadir dalam pengumuman keputusan dan “memberikan bantuan nasihat kepada Wu dan keluarganya”.

Seorang jurucakap menolak untuk mengulas lanjut “kerana pertimbangan privasi”.

Wu sebelum ini adalah salah seorang bintang paling mewah di China tetapi jenama termasuk Louis Vuitton, Bulgari, L’Oreal Men dan Porsche menangguhkan kerjasama mereka berikutan dengan kes ini.

Dan lebih ramai mangsa bersuara berikutan dengan dakwaan awal, menuduh kakitangan Wu bersikap jahat termasuk menjemput mereka untuk parti karaoke dengan minuman keras.

Tanda pagar “girls help girls”, “girls helping girls” dan “girls helps girls time” – di mana wanita menyuarakan sokongan kepada Du – ditapis dari media sosial di China berikutan dengan skandal itu.

Tanda pagar di laman sosial utama China, Weibo “undang-undang pada tahap moral paling rendah” juga melonjak dengan perhatian 830 juta tontonan, ketika pengguna mengadu tentang bukti perundangan yang sangat tinggi diperlukan untuk mangsa membuktikan serangan seksual dalam mahkamah.

Skandal melibatkan Wu juga membangkitkan semula tanda pagar pergerakan #MeToo, yang menyaksikan satu gelombang wanita tampil menyuarakan pengalaman gangguan seks mereka pada 2018 – kadangkadang melibatkan orang yang sangat berpengaruh.

Beijing bertindak pantas menangani pergerakan feminin ini, menahan beberapa aktivis pelajar dalam satu usaha menunjukkan pendekatan sifar tolak-ansur kepada mereka yang berpotensi mengancam kuasa mereka.

Satu kes dibangkitkan oleh penulis filem, Zhou Xiaoxuan terhadap seorang penyampai TV berpengaruh, Zhu Jun, diketepikan tahun lepas, dengan sebuah mahkamah di Beijing juga menolak satu rayuan pada bulan Ogos.

Dan ketika dakwaan bintang tenis Peng Shuai mengenai serangan seksual oleh seorang ahli politik kanan Parti Komunis menyebabkan kemarahan antarabangsa tahun lepas, dakwaannya dengan pantas ditapis dalam China.

Peng kemudian menafikan membuat tuduhan itu.

Kes Wu adalah ketika di kemuncak usaha pembanterasan kerajaan ke atas budaya selebriti yang berlaku pada musim panas lalu.

Pada masa yang sama, pelakon wanita terkenal, Zheng Shuang didenda 46 juta dolar kerana mengelak cukai sementara rujukan kepada bintang filem Zhao Wei dipadam dari laman penstriman video.

Pihak berkuasa berkata mereka menyasarkan nilai tidak sihat dan “tidak normal”, dengan mengarahkan penyiaran mengurangkan rancangan bakat realiti dan menghentikan memberikan masa siaran kepada lelaki “lembut” dan pempengaruh biadap”.

Pengkritik mempertikaikan bahawa langkah itu juga bertujuan untuk memperkuatkan ideologi Parti Komunis yang mengawal dan mengelak pengaruh luar yang boleh memberi ancaman kepada pemerintahannya. — AFP

Hiburan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281986086575547

Borneo Post