Utusan Borneo

Lebih 100 dari 11 agensi terlibat simulasi kemalangan di PLUS

Suasana di KM267.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (arah selatan) berhampiran Plaza Tol Jelapang cemas apabila tiga individu ‘maut’ manakala sembilan yang lain ‘cedera’ akibat kemalangan membabitkan empat kenderaan semalam.

Kejadian itu hanyalah ‘lakonan’ bagi menjayakan latihan simulasi membabitkan 11 agensi termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Senario latihan itu memaparkan sebuah lori tangki minyak terbabas dan terbakar menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi, van dan ambulans hilang kawalan lalu melanggar lori itu sekali gus menyaksikan ‘mangsa yang cedera’ dibawa menaiki ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala yang ‘maut’ turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, seramai 104 orang daripada 11 agensi terlibat dalam latihan selama empat jam itu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku insiden dan kemalangan di lebuh raya.

Beliau berkata, sebanyak 10,407 kemalangan dengan 34 kes purata harian dan 144,505 kerosakan kenderaan dengan purata harian sebanyak 475 kes direkodkan di Lebuhraya Utara-Selatan sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

“Jika dilihat pada statistik, dari tahun ke tahun terdapat pengurangan jumlah kemalangan. Ini hasil kerjasama yang erat antara pihak PLUS dan agensi kerajaan.

“Bagi tahun hadapan, kita akan menumpukan bagaimana hendak mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat kerana impaknya yang besar,” katanya. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282016151346619

Borneo Post