Utusan Borneo

Polis Melaka tahan tujuh ejen pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022

Polis Melaka menahan tujuh lelaki warga tempatan dipercayai ejen pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX sejak 10 November lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah, berkata kesemua lelaki berusia 30 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Melaka dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM4,416 dipercayai hasil pertaruhan aktiviti judi berkenaan selain tujuh telefon bimbit dan kertas pertaruhan turut dirampas.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Polis Melaka amat komited dalam usaha membanteras aktiviti perjudian dan pertaruhan sempena musim Piala Dunia Qatar 2022 yang sedang berlangsung,” katanya, dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian di kawasan mereka dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.

Katanya, polis Melaka turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat berkaitan perjudian bola sepak sehingga pihaknya berjaya menangkap suspek terbabit. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282029036248507

Borneo Post