Utusan Borneo

JaPen adakan program komunikasi tindakan setempat di kawasan bencana

Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan akan melaksanakan Program Komunikasi Tindakan Setempat di kawasan bencana seperti banjir dan penularan wabak denggi secara berkala mengikut kesesuaian.

Pengarah JaPen Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata hal ini susulan tiga program yang dilaksanakan tahun ini mendapat respons positif masyarakat setempat yang terlibat.

“Antara pengisian program ialah warga JaPeN Kelantan bersama-sama masyarakat bergotong-royong membersihkan kawasan.

Program ini memberi kesedaran mengenai pentingnya kebersihan dan kesihatan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Rumah Sejahtera Banggol Kulim, Rantau Panjang, di sini semalam.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen Zainudin Ismail yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JaPen Suwadi Guliling.

Mengulas mengenai program yang diadakan di Banggol Kulim itu, Muhd

Nor Aswadi berkata selain aktiviti gotong-royong, JaPen Kelantan turut menghulurkan bantuan barangan keperluan harian kepada 20 penerima.

“Hari ini kita turut santuni pelajar Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran dan Pengajian Islam Banggol Kulim serta warga emas Rumah Sejahtera Banggol Kulim,” katanya.

Beliau berkata program semalam turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pertubuhan Sanggar Suri Kelantan. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282067690954171

Borneo Post