Utusan Borneo

Scoot kembali terbang ke Kuantan

Syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot semalam kembali meneruskan operasi bagi laluan terus dari republik itu ke Kuantan selepas ia terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata Pahang merupakan lokasi keempat di Semenanjung, syarikat penerbangan itu menjalankan operasi selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, Kedah.

“Ini sekali gus menunjukkan keyakinan mereka terhadap sektor pelancongan di Malaysia yang merangkumi pelbagai aktiviti dan destinasi menarik.

“Kami juga berharap dengan penerbangan ini akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan terutama di pantai timur dengan kedatangan pelancong antarabangsa,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang

(Pembangunan) Datuk Razihan Adzharuddin.

Penerbangan itu beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad dengan waktu ketibaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah pada 11.15 pagi selepas bertolak dari Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 10.15 pagi.

Sementara itu, Razihan berkata dengan pengoperasian penerbangan antarabangsa

ini dapat membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat khususnya mereka yang terlibat dalam industri pelancongan.

“Ia diharap menjadi titik mula kepada lebih ramai kemasukan pelancong dari Singapura dan antarabangsa ke Pahang dan wilayah timur...kami juga akan memperbanyak lagi promosi serta kempen untuk menggalakkan

lagi pelancong ke sini,” katanya.

Pahang merekodkan lebih 6.6 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat September dan menyasarkan 8 juta pelawat menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu, acara sambutan diadakan bagi menyambut ketibaan pertama penerbangan Scoot yang membawa 75 penumpang dari Singapura. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282093460757947

Borneo Post