Utusan Borneo

Majlis Raja-Raja cadang kuasa lantik lima anggota JAC bukan lagi dibuat PM

Majlis Raja-Raja mencadangkan agar pelantikan lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak lagi dibuat oleh Perdana Menteri, agar keanggotaan suruhanjaya itu lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah dari segi sistem kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia dan proses pelantikan hakim pada masa ini dilihat mempunyai kelemahan serta boleh diperbaiki termasuk keanggotaan JAC.

Baginda bertitah JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim, justeru keanggotaannya kritikal dalam memastikan suruhanjaya itu terus menjadi amalan serta pegangan semua selain berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.

“Sebaliknya ia (kuasa melantik keanggotaan JAC) diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan anggota keahlian dengan empat daripadanya merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya adalah individu yang dilantik oleh Perdana Menteri,” demikian menurut titah perutusan Tuanku Muhriz sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berlangsung di Istana Negara, semalam.

Terdahulu, Tuanku Muhriz mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari, bermula kelmarin. — Bernama

Nasional

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282196539973051

Borneo Post