Utusan Borneo

Jerman harus menang menentang Costa Rica

Pemain veteran Jerman, Thomas Mueller berkata pada Selasa bahawa pasukannya akan ‘tetap rendah diri’ dengan imbasan tersingkir di pusingan pertama Piala Dunia 2018 dalam fikiran mereka menjelang perlawanan harus menang menentang Costa Rica hari ini.

Gol penyamaan Niclas Fuellkrug pada minit ke-83 ketika menentang Sepanyol Ahad lepas meletakkan semula peluang Jerman di landasan selepas dimalukan 1-2 oleh Jepun pada perlawanan pertama.

Harapan Jerman untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan bagaimanapun tidak sepenuhnya dalam tangan mereka walaupun jika berjaya menewaskan Costa Rica.

Jika Jepun mencipta satu lagi kejutan dengan menewaskan Sepanyol, maka Jerman harus memintas Sepanyol dengan perbezaan gol yang sangat banyak selepas Sepanyol membelasah Costa Rica 7-0 pada perlawanan pertama mereka.

Mueller bagaimanapun berkata dia hanya memberi fokus menewaskan Cost Rica, yang turut mengembalikan peluang mereka apabila menewaskan Jepun 1-0 pada perlawanan kedua.

“Apabila bola sepak dunia melihat perlawanan Jerman menentang Costa Rica, dari pihak berkecuali, kami adalah pilihan utama untuk menang dan ia jelas bahawa kami harus menang,” kata Mueller.

“Kami tetap merendah diri. Kami hanya mempunyai satu mata dan perbezaan gol kecil, jadi tiada sebab untuk kami berasa terlalu gembira.

“Mungkin ada yang tersenyum selepas perlawanan menentang Sepanyol tetapi ia hanya kerana kami tahu kami mempunyai satu peluang (meneruskan kemaraan).”

Sukan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282213719842235

Borneo Post