Utusan Borneo

Belanda juara Kumpulan A dengan tujuh mata

Cody Gakpo menjaringkan gol sekali lagi ketika Belanda menempah tiket ke pusingan kedua Piala Dunia 2022 sebagai juara kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah Qatar pada Selasa.

Belanda, yang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kemaraan, meletak sebelah kaki ke pusingan kedua pada 30 minit pertama apabila Gakpo menjaringkan gol pada perlawanan ketiga berturut-turut.

Frenkie de Jong melengkapkan jaringan pada minit ke-49 ketika Belanda mengawal permainan di Stadium Al Bayt.

Qatar, yang sudah tersingkir dari kejohanan sebelum perlawanan terakhir ini, gagal memberikan cabaran serius sepanjang kejohanan dan menamatkan kejohanan tanpa sebarang mata.

Belanda menamatkan saingan Kumpulan A dengan tujuh mata, diikuti Senegal yang mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan Ecuador 2-1 pada perlawanan yang berlangsung serentak.

Belanda akan menentang naib juara Kumpulan B,

Amerika Syarikat (AS) untuk memburu satu tempat ke suku akhir sementara Senegal akan menentang juara Kumpulan B, England pada Sabtu ini.

“Kami melakukan apa yang perlu dilakukan,” kata jurulatih Belanda, Louis van Gaal.

“Kami adalah juara kumpulan dan akan menentang naib juara kumpulan, AS.”

Belanda memulakan kejohanan dengan memberangsangkan ketika cuba menebus kekecewaan gagal layak ke Piala Dunia 2018.

Sementara Qatar menamatkan kejohanan sebagai penganjur terburuk dalam sejarah kejohanan.

“Saya fikir kami bermain menentang lawan yang hebat, mungkin salah sebuah pasukan pilihan untuk melangkah jauh pada kejohanan ini,” kata jurulatih Qatar, Felix Sanchez.

“Ia adalah perlawanan sukar bagi kami tetapi saya percaya pasukan berjaya bersaing di peringkat tertinggi untuk satu tempoh agak lama.”

Van Gaal dapat memberikan Memphis Depay penampilan kesebelasan utamanya di Piala Dunia ketika pemain kelab Barcelona itu terus mengembalikan tahap kecergasan sepenuhnya selepas pulih dari kecederaan.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-26 ketika Davy Klaassen mengumpan bola kepada Gakpo dari gerakan yang turut melibatkan Depay.

Walaupun menguasai sepenuhnya permainan, Belanda gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Sukan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282218014809531

Borneo Post