Utusan Borneo

AS benam Iran 1-0 dalam aksi Kumpulan B

DOHA: Christian Pulisic memastikan Amerika Syarikat (AS) melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2022 selepas gol tunggalnya menewaskan musuh politik mereka, Iran.

Pulisic, penyerang kelab Chelsea, menjaringkan gol kemenangan minit ke-38 pada perlawanan harus menang Kumpulan B, sekali gus menempah pertemuan menentang juara Kumpulan A, Belanda pada Sabtu ini.

“Dalam separuh masa pertama, kami menunjukkan apa yang kami lakukan, bermain dengan bijak. Dalam separuh masa kedua, kami menunjukkan keazaman kami,” kata jurulatih AS, Gregg Berhalter selepas kemenangan itu.

“Pemain berusaha gigih dan kami tidak kalah ketika meneruskan kemaraan pada kejohanan ini.”

Pulisic bagaimanapun dikeluarkan pada masa rehat selepas mengalami sedikit kecederaan ketika menjaringkan gol kemenangan itu.

“Saya tidak mampu berkata lebih banyak perkara positif lagi tentang Christian,” kata Berhalter. “Dengan kecederaan baharu, ia merisaukan. Saya fikir saya semakin risau sekarang. Tetapi kami akan tetap bersedia untuk perlawanan menentang Belanda.”

Kemenangan mungkin selayaknya untuk skuad muda Berhalter dalam apa yang merupakan perlawanan antarabangsa ketiga untuk negara yang bermusuh dari segi politik itu.

Persediaan perlawanan diselubungi ketegangan, dengan Persekutuan Bola Sepak Iran pada Ahad lepas menuntut badan induk bola sepak dunia (FIFA) menghukum Persatuan Bola Sepak Amerika kerana mengubah logo bendera mereka di laman media sosial AS.

Tetapi walaupun dengan suasana meriah di Stadium Al Thumama,permainanberlangsung tanpa kontroversi ketika AS menebus kekalahan di Piala Dunia 1998 dengan menyingkirkan pasukan dari Asia itu dari kejohanan. — AFP

Sukan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282226604744123

Borneo Post