Utusan Borneo

104 pemain golf remaja dari 10 negara rebut Piala Premier Sarawak 2022

MIRI: Malaysia menghantar 61 pemain golf masing-masing 29 orang bagi kategori perempuan dan 32 kategori lelaki berentap dalam Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak Ke-22 Piala Premier Sarawak 2022.

Kejohanan yang membuka tirainya semalam membabitkan keseluruhan 104 pemain golf dari 10 negara berentap di padang Golf Eastwood Valley Golf and Country Club.

“Selepas dua tahun ditangguhkan akibat penularan pandemik COVID-19, pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Golf Sarawak (SGA2017) tahun ini disertai 58 lelaki dan 46 perempuan dari 10 negara,” kata jurucakap penganjur.

Negara-negara yang terlibat ialah Pakistan, India, Thailand, Vietnam, Filipina, China Taipei, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam manakala tuan rumah Malaysia diwakili pemain junior dari Sabah dan Sarawak.

Paling menarik, Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) juga telah mencalonkan empat pemain remaja mereka untuk bertanding dalam

kategori Khas Perempuan, A dan C dalam acara tiga hari itu.

Mereka ialah Alya Afza Hazari (kategori A), Pang Hee Jie (kategori khas), Sohinya Chandra Mohan (kategori A) dan Adrianna Prewa Sim (kategori C) dengan Dr Noor Aziah sebagai pengurus pasukan.

Pasukan Pakistan pula diketuai pengurusnya Dr Asma Shami yang mengiringi tujuh pemain perempuan dan enam lelaki dalam pertandingan

itu.

Pasukan itu adalah pasukan terakhir tiba di Miri selepas mengalami kelewatan dan penerbangan sambungan.

Namun begitu, para peserta tetap bersemangat tinggi dan memanfaatkan pusingan latihan yang diadakan kelmarin.

Thailand juga menghantar tujuh peserta perempuan dan empat lelaki dalam acara tahun ini manakala negara jiran Brunei hanya menghantar pasukan lelaki ke pertandingan itu.

Sementara itu, pendaftaran bagi kategori masing-masing telah diadakan kelmarin dan majoriti penyertaan adalah bagi kategori Lelaki dan Perempuan A dengan 35 peserta manakala kategori C menampilkan 31 peserta.

Sambutan memberangsangkan bagi kategori 12 tahun ke bawah telah menunjukkan bilangan pemain golf muda baharu yang bertanding julung kali di Miri.

Acara tahun ini dibuka kepada pemain golf amatur remaja tempatan dan antarabangsa yang bertanding dalam empat kategori berbeza iaitu kategori A (umur 15 hingga 17 tahun), B (13 hingga 14 tahun), C (12 tahun ke bawah) dan kategori khas (18 hingga 21 tahun).

Acara tahun ini disokong Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) dan diluluskan Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Ranking Golf Amatur Dunia manakala Eastwood Valley Golf and Country Club adalah gelanggang rasmi kejohanan.

Sukan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282243784613307

Borneo Post