Utusan Borneo

Qatar akhiri kempen Piala Dunia 2022 dengan buruk

Qatar melengkapkan kempen buruk di Piala Dunia 2022 dengan kekalahan 0-2 kepada Belanda dan tersingkir dari kejohanan yang mereka anjurkan untuk pencapaian paling buruk oleh pasukan tuan rumah.

Negara Teluk itu membelanjakan anggaran sehingga 200 bilion dolar untuk menganjurkan Piala Dunia kali ini sementara pasukan bola sepaknya adalah juara benua Asia selepas memenangi Piala Asia pad 2019.

Tetapi keputusan untuk menjalani latihan bersendirian selama berbulan-bulan sebelum kejohanan, berbanding menyertai perlawanan kompetetif, membawa padah buat jurulatih Felix Sanchez dan pasukannya.

Qatar menjadi pasukan pertama tersingkir dari saingan apabila tewas 1-3 kepada Senegal pada perlawanan kedua, selepas tewas 0-2 kepada Ecuador pada perlawanan pembuka tirai kejohanan.

Kekalahan kepada Belanda bermakna mereka tersingkir dari kejohanan tanpa sebarang mata dan hanya menjaringkan satu gol.

Mereka adalah pasukan tuan rumah yang kedua yang gagal melepasi pusingan pertama, selepas Afrika Selatan pada 2010.

Setiap negara tuan rumah lain sepanjang 22 edisi Piala Dunia sejak 1930 berjaya melangkah ke pusingan seterusnya, walaupun tuan rumah bersama Piala Dunia 2002, Jepun, tewas di pusingan 16 akhir, sama seperti Amerika Syarikat (AS) pada 1994.

Tuan rumah kejohanan sudah muncul juara Piala Dunia sebanyak enam kali, yang terakhir ialah Perancis pada 1998 dan dua kali muncul naib juara.

Sukan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282252374547899

Borneo Post