Utusan Borneo

Sarawak peneraju tangani perubahan iklim

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Sarawak mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dan wilayah lain di Asia Tenggara dalam menangani perubahan iklim global selaras dengan Perjanjian Iklim Paris 2015.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia dibuktikan melalui pelan peralihan tenaga Sarawak yang berani dan sistematik.

“Kita (Sarawak) adalah wilayah terkemuka dalam menghasilkan tenaga diperbaharui yang bersih dengan 70 peratus daripadanya meliputi kuasa hidro pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2023 Sarawak di sini, semalam.

Sehubungan itu Abang Johari berkata, Sarawak amat komited untuk mengekalkan sekurangkurangnya 60 peratus gabungan kapasiti tenaga diperbaharui dengan kuasa hidro.

“Ini kerana tenaga hidro menawarkan pilihan tenaga diperbaharui mapan yang dapat memberi manfaat kepada kita, selain daripada penjanaan elektrik sematamata.

“Bahkan membolehkan kita mengurangkan pelepasan karbon sistem kuasa sebanyak 73 peratus antara tahun 2010 dan 2021 sekali gus menyumbang kepada komitmen Sifar Bersih dan kemampanan,” katanya.

Dengan memanfaatkan kuasa hidro boleh diperbaharui, Abang Johari berkata, ia membolehkan Sarawak meneroka pengeluaran hidrogen hijau dan solar terapung skala utiliti.

“Misalnya, di bawah Agenda Tenaga Hijau Sarawak, kita sedang meneroka beberapa cara untuk menyahkarbonkan sistem pengangkutan kita dan seterusnya beralih ke arah ekonomi rendah karbon yang sudah mempunyai kebanyakan tenaga elektrik hijau sebagai teras,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu Sarawak kini mengusahakan 1,000 ekar mikroalga di Bintulu yang berpotensi menghasilkan 500,000 tan minyak alga mentah setahun.

“Ini dianggarkan kira-kira 10,000 tong sehari dengan kira-kira 37 peratus kadar pengekstrakan minyak alga mentah daripada biojisim alga.

“Oleh itu, kita berpotensi ‘menanam minyak’ yang akan memberi sumbangan besar kepada Agenda Ekonomi Hijau,” katanya.

Tambahan pula katanya, Sarawak dianggarkan mempunyai kirakira 30 trilion meter padu kapasiti simpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya.

“Kita kini menjalankan projek Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) luar pesisir pertama di Padang Petronas Kasawari dekat Bintulu.

“Projek ini dijangka dapat mengurangkan sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun dan seterusnya menyumbang kepada matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa Sarawak akan terus menerajui Agenda Ekonomi Hijau di rantau ini untuk pembangunan mampan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan inisiatif SDG.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak SDGs Malaysia 2023, di Sarawak merupakan platform bagi menyuarakan pandangan dan pendapat kepakaran daripada pelbagai bidang terutama daripada kerajaan, industri, ahli akademik dan orang awam untuk berkumpul, bersatu dalam komitmen bagi menangani 17 Matlamat Pembangunan Mapan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu.

Muka Depan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281535115627886

Borneo Post