Utusan Borneo

Empangan Bakun disahkan dalam keadaan selamat dan baik

KUCHING: Skuad udara keselamatan empangan, pasukan khas yang diselaraskan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mendapati Empangan Bakun dalam keadaan selamat dan baik.

Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dalam kenyataan medianya semalam berkata skuad berkenaan yang turut dianggotai pelbagai jabatan teknikal melawat Empangan Bakun pada Oktober 2022 bagi pemeriksaan 2021-2022.

Hasil lawatan itu katanya mendapati empangan tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat, seperti yang dikongsikan dalam pembentangan kepada Sarawak Energy, pemilik dan pengendali empangan.

“Loji Hidroelektrik Bakun, memenangi Pengendali Empangan Terbaik (di bawah kategori Program Keselamatan Empangan) 2023 di Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan pada Mac 2023; merupakan antara empangan terpilih untuk menjalani audit yang dilakukan oleh skuad udara keselamatan empangan tahun lalu.

“Loji Hidroelektrik Bakun juga penerima Anugerah Keselamatan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) dan pemenang Anugerah Prime Minister’s Hibiscus (PMHA) Piala Cabaran 2023 dan Anugerah Pencapaian Cemerlang 2023,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kemudahan tenaga hidro Sarawak Energy telah direka bentuk mengikut piawaian teknikal antarabangsa tertinggi untuk ketahanan dan keselamatan.

Terutama projek-projek kuasa hidronya direka mengikut garis panduan diwujudkan oleh Jawantankuasa Antarabangsa bagi Empangan-Empangan Mega (ICOLD), sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan pada 1928 untuk berkongsi pengetahuan serta menetapkan piawaian dan garis panduan untuk memastikan empangan dibina dan dikendalikan dengan selamat.

“Garis panduan ini juga digunakan untuk memastikan keselamatan empangan di seluruh dunia termasuk kawasan aktif seismik di dunia seperti

Himalaya dan Jepun.

“Selain audit yang dijalankan oleh skuad ini, Sarawak Energy juga melantik perunding kuasa hidro antarabangsa bebas untuk menjalankan audit Semakan Keselamatan Empangan bagi semua empangan hidronya setiap lima hingga tujuh tahun mengikut keperluan ditetapkan oleh MyDAMS (Malaysia Dam Safety Management) dan Garis Panduan ICOLD (the International Committee on Large Dams),” jelasnya.

Menurut Sarawak Energy kali terakhir semakan keselamatan empangan dilakukan bagi Empangan Bakun adalah pada Oktober 2022 dan mendapati empangan itu dalam keadaan yang baik dan selamat.

Pada 2 Oktober 2023, MalayMail melaporkan skuad udara itu dalam pemeriksaannya dari 2021 hingga 2022 mendapati lapan empangan telah rosak dan boleh mendatangkan ancaman kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan.

Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang di Perak, Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang, Empangan Babagon di Sabah, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan berkata hasil pemeriksaan mendapati pembentukan mendapan tinggi di dalam takungan, kerosakan instrumentasi dan peralatan kawalan air, resapan, kerosakan integriti struktur konkrit, tanah, hakisan dan tanda-tanda keruntuhan.

NRECC berkata kos pembaikan dan penyelenggaraan bagi lapan empangan itu dianggarkan berjumlah RM135.82 juta dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas untuk penyelenggaraan.

Muka Depan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281548000529774

Borneo Post