Cadangan semak kadar levi keuntungan luar biasa
Cadangan semak WPL Sabah, Sarawak dikemuka kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbang dalam Belanjawan 2024
“Ini adalah satu salah perkara yang telah mereka bangkitkan dan mereka bukannya membantah levi keuntungan ” luar biasa ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengemukakan cadangan semakan semula kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus berbanding tiga peratus ketika ini kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata perkara tersebut telah dibangkitkan oleh pemain industri dalam dialog yang telah diadakan oleh kementerian tersebut.
“Ini adalah satu salah perkara yang telah mereka bangkitkan dan mereka bukannya membantah levi keuntungan luar biasa ini.
“Tetapi kalau ianya dikenakan, mereka mahu melihat bagaimana levi tersebut dapat dikembalikan kepada industri termasuk dari segi insentif dan program seperti penanaman semula sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Biodiesel Sawit Keempat dan pelepasan lori pengangkut pertama Petronas yang menggunakan biodiesel sawit B100 di sini, semalam.
Pada Isnin, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) telah menggesa agar kerajaan bertindak mengembalikan WPL di Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus dalam Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan pada 13 Oktober ini.
Persatuan tersebut mendakwa sejajar dengan kos pengeluaran yang semakin meningkat, kerajaan juga diminta menyemak semula ambang harga WPL sebanyak RM500 satu tan minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,500 satu tan bagi Semenanjung Malaysia dan kepada RM4,000 satu tan bagi penanam Sabah dan Sarawak.
MPOA turut meminta insentif cukai bagi menyokong inisiatif penanaman semula berskala besar, mengiktiraf peranan kritikalnya dalam melindungi produktiviti masa depan sektor untuk menyokong rantaian bekalannya dan mengekalkan daya saing.
Terdahulu ketika berucap, Fadillah menyifatkan industri biodiesel sawit sebagai bahagian penting dalam industri tersebut dan pertumbuhannya akan mendorong permintaan tempatan terhadap MSM dan memperkasa aspek penetapan harga berbanding mengikut trend pasaran.
“Sebagai contoh, pelaksanaan B10 dalam sektor pengangkutan ini baru saja bermula. Sejajar dengan usaha kita ke arah pelaksanaan B20 di seluruh negara, ini akan meningkatkan lagi penggunaan MSM secara ketara kepada lebih sejuta tan setahun,” kata beliau.
Fadillah turut menegaskan bahawa komitmen terbabit jelas disenaraikan dalam pelbagai dasar kerajaan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030, Dasar Automotif Nasional 2020 dan Dasar Tenaga Negara 2022-2040. — Bernama
Dato Sri Fadillah Yusof Timbalan Perdana Menteri
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281552295497070
Borneo Post
