Sayap Belia 18 PBB hadiri konvensyen khas di Betong Ahad ini: Uggah
KUCHING: Sayap baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sayap Belia 18 (bagi mereka yang berumur 18 hingga 28 tahun) akan menghadiri konvensyen khasnya di Betong Ahad ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata menerusi satu kenyataan semalam bahawa konvensyen yang sama akan turut diadakan kemudian di Sibu pada akhir bulan ini dan Bintulu pada awal November.
“Anggota sayap ini adalah kumpulan yang sangat istimewa mewakili generasi yang sama sekali berbeza.
“Mereka akan diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan menyertai perbincangan untuk resolusi itu nanti.
“Kami ingin tahu aspirasi dan inspirasi mereka,” katanya yang juga Timbalan Presiden PBB, ketika mengulas mengenai Konvensyen Betong yang akan diadakan di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
Beliau berkata ia juga amat penting untuk membimbing mereka tentang perjuangan parti dahulu dan sekarang.
Menerusi perjuangan itu, komitmen yang teguh serta perpaduan dan kesetiaan ahli, menunjukkan bagaimana PBB telah memainkan peranan penting dalam membawa kejayaan, kemajuan dan kemakmuran di negeri ini ke tahap yang kita saksikan dan nikmati sekarang, ujarnya.
“Sudah tentu PBB berjaya dan akan mencapai semua ini dengan sokongan, kerjasama dan keakraban yang dikongsi dengan semua parti komponen BN negeri dan kini GPS dahulu.
“Tetapi menjadi harapan kami sayap belia kami dapat meneruskan perjuangan parti dalam landskap politik masa depan yang lebih mencabar,” tambah Uggah yang turut memegang jawatan sebagai pengerusi cawangan PBB Bukit Saban.
“Pengambilan ahli Belia 18 adalah sebahagian daripada apa yang sedang dijalankan di samping melatih serta mengasah kepimpinan mereka.
“Belia akan menjadi kuasa masa depan yang sangat penting.
“Kita perlu melatih mereka sebagai pemimpin masa depan untuk menggantikan kita.
“Mereka perlu menaiki tangga kepimpinan langkah demi langkah dan dalam proses itu akan memperoleh kemahiran kepimpinan yang baik, kebijaksanaan dan pengalaman,” katanya.
Menyentuh tentang konvensyen di Betong, Uggah yang merupakan pengerusi penganjurnya berkata beliau telah mengarahkan semua 14 cawangan PBB di zon itu untuk memasukkan ahli sayap Belia mereka untuk hadir.
Dijangkakan sekitar 1,500 perwakilan akan hadir nanti yang mana tetamu kehormatnya adalah Premier Sarawak merangkap Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada masa yang sama, Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi akan membentangkan resolusi dengan ADUN Layar Dato Gerald Rentap Jabu menyokongnya.
Sementara itu baru-baru ini, Uggah telah mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa induk dan pelbagai jawatankuasa kecil untuk konvensyen di Betong.
Beliau disertai Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, ADUN Saribas dan Kalaka masing-masing Mohd Razi Sitam dan Mohamad Duri serta yang lain.
Mereka kemudiannya melawat Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, lokasi konvensyen untuk melihat persiapan di situ.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281556590464366
Borneo Post
