Kongres FAVA Ke-22 dan MAVMA Ke-33 di Kuching, 3-5 November
KUCHING: Kongres Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (FAVA) Ke-22 dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) Ke-33 akan diadakan di sini pada 3 hingga 5 November depan.
Bertemakan ‘Asia Bersatu Untuk Kesihatan dan Kebajikan Haiwan’, kongres ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan bakal dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Sabu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada sidang media di sini, semalam sambil menambah, kongres berkenaan dianjurkan bersama oleh FAVA, MAVMA dan disokong Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Persatuan Veterinar Sarawak.
“Pelbagai program akan diadakan sepanjang kongres berlangsung, antaranya bengkel prakongres dan kelas-kelas induk mengenai pelbagai aspek seperti sains veterinar, perubatan, pembedahan dan banyak lagi.
“Penceramah terkenal dari seluruh dunia akan mengambil bahagian. Saya difahamkan 12 negara akan mengambil bahagian, jadi ini merupakan penghormatan sebenar kepada Sarawak untuk menghoskan kongres ini kali ini,” katanya.
Dr Rundi berkata bagi mendepani cabaran-cabaran global yang mendesak seperti perubahan iklim, sekuriti makanan dan kemunculan penyakit berjangkit, komuniti veterinar memainkan peranan penting dalam mencegah, mengawal serta mengurangkan penyakit pada masa sama mengekalkan produktiviti sektor ternakan.
FAVA 2023 katanya bertujuan memudahkan rundingan mengenai cabaran-cabaran mendatang ini dan memupuk keseimbangan yang mampan antara kesihatan haiwan, manusia dan alam sekitar.
“Banyak topik akan dibincangkan semasa kongres ini, membolehkan pakar-pakar memberi pandangan serta idea untuk menghadapi cabarancabaran dihadapi sektor penternakan.
“Diharap tujuan dan objektif kongres ini untuk menghimpunkan doktor haiwan dari seluruh dunia bagi membolehkan mereka bertukar-tukar pengetahuan profesional dapat dicapai.
“Diharap juga para peserta menikmati masa mereka sepanjang berada di sini,” tambahnya.
Hadir sama pada sidang media itu pengerusi penganjur FAVA 2023 Profesor Dato Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281573770333550
Borneo Post
