Sarawak Metro dan EMG JV perkukuh kerjasama pembangunan projek KUTS
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) dan EMG JV Sdn Bhd telah menandatangani Sijil Pematuhan (COC) baru-baru ini bagi memperkukuhkan lagi kerjasama pembangunan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di sini.
Menurut satu kenyataan pihaknya semalam, ia juga sebagai tanda komitmen kedua-dua belah pihak dalam usaha merealisasikan aspirasi Sarawak untuk memodenkan pengangkutan awam di bandar ini.
Majlis menandatangani kontrak Sarawak Metro diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Teknologinya Mazli Mustaffa sementara EMG JV diwakili salah seorang Pengarahnya Chan Chee Kian.
“COC ini adalah susulan daripada pemberian kontrak pada Julai tahun lalu dan pemeteraian Bon Pelaksanaan pada 20 Julai 2023,” kata kenyataan yang dikeluarkan pihak Sarawak Metro semalam.
EMG JV, usaha sama antara EPR (Kuching) Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd, merupakan kontraktor utama bagi Pakej Sistem 1 projek KUTS.
Kontrak itu melibatkan pembekalan ‘stok pusingan’, iaitu kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen, peralatan depoh dan kenderaan penyelenggaraan (DEMV).
Termasuk sistem isyarat dan kawalan (S&CS) dan pintu platform automatik (APG) yang telah dianugerahkan pada Julai tahun lepas.
Pada masa ini, EMG JV sedang menyelaraskan larian kejuruteraan dan peringkat dua latihan Bukti Konsep (POC) untuk unit prototaip
ART yang telah bermula pada 4 September.
Larian kejuruteraan itu akan diadakan selama dua bulan dan akan berakhir pada Oktober dan laluan itu adalah satu gelung di sepanjang Jalan Keruing yang melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Larian kejuruteraan adalah untuk memperhalusi spesifikasi unit ART dan untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum meneruskan latihan POC.
Ia juga untuk menilai dan mengenal pasti prestasi dan fungsi kenderaan ART, melalui unit prototaip.
Peringkat 2 latihan POC akan dijalankan pada bulan November untuk mengumpul data bagi menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir kenderaan ART.
Latihan POC akan dijalankan di lorong sepanjang tiga kilometer yang dibina antara dua bulatan di Kota Samarahan, di sepanjang Kuching-Samarahan Expressway.
Hasilnya akan membentuk satu bahagian lorong khusus tetap yang dibina untuk rangkaian Blue Line projek KUTS.
Peringkat 1 latihan POC telah dijalankan pada Mac tahun ini di kemudahan CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd di wilayah Hunan, China.
CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd ialah pembangun prototaip kenderaan hidrogen ART.
Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) telah diamanahkan untuk melaksana, mengendali dan menyelenggara projek KUTS.
Kenderaan ART itu merupakan tulang belakang Projek KUTS, projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak bertujuan memodenkan sistem pengangkutan awam di Sarawak.
Projek KUTS akan dibangunkan secara berperingkat dan Fasa 1 adalah untuk pembangunan tiga garisan – Garisan Biru, Garisan Merah dan Garisan Hijau.
Fasa 1 Projek KUTS dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat, mulai suku keempat 2025.
Laluan Biru, meliputi jarak 27.5km, adalah dari Rembus di Kota Samarahan ke pusat bandar raya Kuching, Laluan Merah (12.3km) adalah dari Kuching Sentral ke Pending dan Laluan Hijau (30km) dari Pending ke Damai Central.
Kenderaan ART akan dikendalikan di lorong khusus dan tidak akan berkongsi jalan dengan pengguna jalan raya lain.
Operasi ART akan disokong oleh rangkaian bas pengantara, yang juga akan menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen untuk menawarkan sambungan ‘batu pertama dan batu terakhir’ untuk penumpang.
Langkah menggunakan hidrogen adalah untuk menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memajukan ekonomi hidrogen dan menyahkarbonisasi pengangkutan awam di negeri ini.
Selain daripada mengurus perubahan iklim, langkah itu juga sebagai pemangkin dalam memajukan inisiatif Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281603835104622
Borneo Post
