Solarvest, Henz Pacific bekerjasama bangun stesen pengecasan bas elektrik berkuasa solar
KUCHING: Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) dan Henz Pacific Sdn Bhd (Henz Pacific), pengendali bas Kuching Metro menandatanganimemorandumpersefahaman (MoU) untuk membangunkan stesen pengecasan bas elektrik berkuasa solar yang disepadukan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri di Taman Perindustrian Demak Laut di sini.
Majlis pertukaran perjanjian dan MoU bagi projek itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni di Muzium Budaya Borneo semalam.
Dr Hazland dalam ucapannya, merakamkan ucapan tahniah kepada pihak yang terlibat dalam projek itu kerana mengambil bahagian dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.
Menurutnya, isu perubahan iklim harus ditangani oleh semua pihak termasuk kerajaan, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Apa yang dilakukan oleh Solarvest Holdings Berhad dan Henz Pacific Sdn Bhd adalah salah satu contoh terbaik dalam membantu memerangi perubahan iklim dunia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kemungkinan timbul isu dalam pelupusan bateri.
“Biarpun pelupusan bateri untuk kenderaan elektrik (EV) menjadi cabaran tetapi dalam tempoh sementara Sarawak membangunkan industri hidrogen dan ekonomi hidrogen, tidak mengapa untuk mempunyai (kenderaan berkuasa solar dan hidrogen) yang saling melengkapi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Henz Pacific Sdn Bhd Henry Lai berkata, kerjasama itu melambangkan komitmen kolektif untuk menjalankan teknologi yang lebih lestari dan memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih hijau.
Katanya, visi yang diterapkan dalam projek ini melampaui pembinaan stesen pengecasan semata-mata.
“Ia merangkumi pandangan jauh ke hadapan di mana pengangkutan mesra alam menjadi kebiasaan.
“Diharapkan bahawa menjelang tahun 2025, visi ini akan menjadi kenyataan dan membawa Sarawak dan negara kita ke era mobiliti mampan yang lebih baik,” ujarnya.
Melalui MoU itu, Henz Pacific Sdn Bhd dan Solarvest akan terlibat dalam pemindahan teknologi dan memupuk inovasi ke dalam sistem pengangkutan tenaga bersih.
Projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Mempercepatkan Penggunaan dan Peningkatan Pengangkutan Pintar Iklim di Malaysia (AASCT)’ di bawah Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) sebagai Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia ( MGTC).
Acara itu turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Kerjasama Strategik ‘Demonstrasi Projek Stesen Pengecasan Bas Elektrik Kuching Metro Solar Smart’ antara Henz Pacific Sdn Bhd dan MGTC.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281616720006510
Borneo Post
