Jerebu berulang di Malaysia semakin membimbangkan, timbulkan risiko kesihatan
KUCHING: Masalah jerebu yang berulang di Malaysia telah menjadi perkara semakin membimbangkan, menimbulkan risiko kesihatan ketara serta menjadi isu alam sekitar.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Sihat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun terdapat perjanjian serantau seperti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), kemajuan dalam menyelesaikan krisis ini amat perlahan.
“Ancaman perubahan iklim dan keadaan El Nino yang semakin menghantui menjadikan tindakan pantas perlu dilakukan.
“Pendekatan yang mantap dan meliputi pelbagai aspek adalah penting untuk memerangi jerebu dengan berkesan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Lee menegaskan kunci mengekang jerebu sumbernya terletak pada penguatkuasaan undang-undang yang ketat.
Menurutnya, walaupun undang-undang sedia ada melarang pembakaran terbuka, penguatkuasaan yang longgar telah menjadikan peraturan ini kurang berkesan.
Denda yang tinggi dan hukuman penjara bagi pesalah berulang boleh menjadi penghalang yang kuat terhadap aktiviti pembakaran haram ini, tambahnya.
Lee berkata, jerebu tidak dihadkan oleh sempadan negara, justeru kerjasama antarabangsa adalah penting.
“Memperkukuh AATHP dan memupuk kerjasama dalam kalangan negara ASEAN boleh menghasilkan tindakan kolektif yang lebih berkesan.
“Ini boleh terdiri daripada misi memadam kebakaran yang diselaraskan kepada perkongsian data dan sistem amaran awal serantau,” ujarnya.
Pada masa sama tegasnya, kepentingan pemantauan kualiti udara yang meluas tidak boleh diperkecilkan.
Selain itu, kataya memiliki satu set protokol kecemasan dapat mempercepatkan tindak balas terhadap tahap kualiti udara yang berbahaya.
Ini termasuk penutupan sementara sekolah, pemberhentian acara luar dan pengedaran topeng dan pembersih udara kepada orang ramai, tambahnya.
“Dalam era digital ini, teknologi boleh menawarkan pelbagai penyelesaian inovatif. Pelaburan dalam teknologi memerangi jerebu, seperti dron yang dilengkapi dengan mekanisme kalis air atau api serta pembersih udara berskala besar, boleh menjadi revolusioner dalam perjuangan ini,” katanya.
Lee berkata, aktiviti tebas dan bakar punca utama jerebu, justeru penting untuk memastikan syarikat yang melakukan perkara ini bertanggungjawab serta berakauntabiliti.
Badan yang mengawal selia juga katanya, harus menguatkuasakan amalan penggunaan tanah yang mampan, dengan tindakan mendenda seperti pembatalan lesen untuk pelanggaran kesalahan berulang.
“Insentif boleh diberikan kepada petani untuk menggunakan kaedah pertanian yang lebih mampan,” cadangnya.
Dari sudut pandang lain pula, Lee berkata pengurusan hutan yang berkesan juga boleh memainkan peranan penting dalam meminimumkan risiko kebakaran hutan.
Ini termasuk mencipta sekatan api, mengawal kebakaran semasa tempoh yang kurang berisiko dan melibatkan komuniti tempatan dalam inisiatif pengurusan hutan.
“Jerebu di Malaysia adalah isu pelbagai aspek yang memerlukan tindakan segera dan berterusan.
“Pendekatan komprehensif yang menggabungkan langkah pengawalseliaan, penglibatan awam dan kemajuan teknologi dapat membantu dalam mengurangkan masalah yang berterusan ini.
“Tanggungjawab terletak pada setiap segmen masyarakat yakni daripada badan yang melakukan kawal selia kepada orang awam, untuk memainkan peranan aktif dalam menjadikan Malaysia bebas jerebu,” katanya.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281625309941102
Borneo Post
