Utusan Borneo

Seramai 37,445 mangsa banjir direkodkan di Sibu, Kapit, Bintulu, Miri

Seramai 37,445 mangsa banjir direkodkan di 302 kawasan di Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri dari 10 Oktober hingga 16 November tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mereka telah diberi bantuan sewajarnya dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.86 juta.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sentiasa bersedia dengan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh Sarawak bagi menghadapi bencana pada musim monsun timur laut.

“Fasiliti itu terdiri daripada sebuah Depo Simpanan Keperluan Bencana di Samarahan, tiga depo mini di Kuching, Samarahan dan Miri serta 16 lagi stor bencana di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian dan Daerah seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Selain fasiliti itu, Fatimah menambah, terdapat juga 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berkapasiti 162,091 orang.

“Pusat ini yang dilengkapi dengan 11,110 Collapsible Tent dan 272 Mobile Partition dikendalikan 1,971 kakitangan dan sukarelawan,” ujarnya.

Selain itu katanya, kementerian turut menyediakan 48 kenderaan jabatan sekiranya diperlukan.

“Malah, kita juga menyediakan 27 Pangkalan Hadapan bagi tujuan penyimpanan bekalan makanan bagi kawasan yang sukar dihubungi,” ujarnya.

Bagi memastikan operasi bencana berjalan dengan lancar, Fatimah berkata, JKMS melaksanakan sebanyak tujuh siri Latihan Simulasi Persiapan Menghadapi Bencana.

“Siri latihan ini telah diadakan di bahagian Samarahan, Serian dan Betong dari September hingga November 2022 melibatkan 650 peserta daripada komuniti setempat dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana,” katanya.

Selain bantuan bencana ujarnya, kementerian juga menguruskan bantuan-bantuan lain bagi kumpulan rentan.

“Dari Januari hingga Oktober 2022, seramai 53,040 orang telah menerima bantuan kebajikan bulanan melibatkan perbelanjaan RM205.5 juta.

“Manakala bantuan sekali gus telah diberi kepada 764 orang dengan perbelanjaan sebanyak RM507,000,” ujarnya.

Tempatan

ms-my

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

2022-12-01T08:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281629604289979

Borneo Post