Utusan Borneo

Komited merapatkan jurang jantina dalam teknologi

Kerajaan perjuang dasar pupuk persekitaran keterangkuman, kesaksamaan dan peluang untuk wanita dalam teknologi

Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Kerajaan negeri berjanji akan memperjuangkan dasar yang memupuk persekitaran keterangkuman, kesaksamaan dan peluang untuk wanita dalam teknologi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia sebagai platform untuk membuka laluan ke dalam bidang teknologi di mana wanita kurang diwakili dan memastikan mereka dilengkapi untuk mengambil bahagian, memimpin dan berkembang maju.

“Saya komited untuk memperjuangkan dasar dan inisiatif yang merapatkan jurang jantina dalam teknologi.

“Ia termasuk memupuk peluang pendidikan, memupuk bakat keusahawanan dan mewujudkan platform di mana sumbangan wanita diiktiraf, diraikan dan diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Forum Asia She-Tech 2023 yang diadakan sebagai praacara kepada WCIT dan

IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Fatimah berkata dalam dunia di mana teknologi terus menjadi asas kemajuan, adalah penting untuk mengiktiraf perana wanita dalam membentuk landskap dinamik itu.

Bagaimanapun katanya jurang yang masih wujud adalah ketidakadilan kepada wanita dan mengehadkan potensi kolektif golongan itu.

“Ini adalah peringatan yang jelas bahawa laluan ke ekosistem teknologi inklusif memerlukan perhatian kita, komitmen yang tidak berbelah bahagi dan tindakan konkrit,” katanya.

Fatimah memberitahu, dalam menyelidik tentang jantina dan teknologi, perlu diingatkan bahawa cabaran penyertaan bukan hanya tentang meningkatkan bilangan.

“Tetapi mengenai meningkatkan suara, mengesahkan pengalaman dan memperkasakan wanita untuk mengambil bahagian, memimpin, berinovasi dan berubah,” katanya.

Beliau percaya bahawa gabungan minda yang pelbagai mampu memupuk inovasi yang kaya dan setiap wanita menceburi bidang teknologi akan menerangi laluan kepada yang lain.

“Saya komited untuk memperjuangkan dasar dan inisiatif yang merapatkan jurang jantina dalam ” teknologi. Dato Sri Fatimah Abdullah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti

Tempatan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281629604908398

Borneo Post