Bengkel tentang Sarawak Delta Geopark batu loncatan capai status Geopark Global UNESCO
KUCHING: Inter-Agency Workshop on Sarawak Delta Geopark (SDGp) akan menjadi batu loncatan buat negeri ini mencapai status Geopark Global UNESCO.
Demikian kata Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad sambil menambah bahawa ia turut memerlukan usaha yang berterusan dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.
“Inter-Agency Workshop juga merupakan salah satu usaha bagi persediaan bagi mencalonkan Sarawak Delta ke peringkat antarabangsa pada tahun 2024,” katanya ketika berucap merasmikan SDGp Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark di sini.
Persediaan bagi Pencalonan Aspiring Sarawak Delta Global Geopark adalah usaha yang penting melibatkan pematuhan standard dan kriteria yang ditetapkan oleh UNESCO.
Malah menjadi aspirasi usaha bersama untuk memelihara dan memajukan Sarawak Delta Geopark, tegas beliau yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Kerja Warisan dan Pemuliharaan Saintifik di sini.
Maka itu, ia amat memerlukan perancangan yang teliti bagi memenuhi dan mematuhi syarat-syarat serta standard yang ditetapkan oleh UNESCO.
“Beberapa persediaan yang dibincangkan semasa bengkel ini nanti adalah penyusunan perancangan geopark merangkumi matlamat, visi dan objektif.
“Ini juga merangkumi pelan pemeliharaan sumber semula jadi, pelan pendidikan awam, aktiviti pelancongan serta pemeliharaan budaya dan sejarah,” ujarnya.
Bengkel bersama kumpulan pakar selama dua hari itu akan menghasilkan ‘roadmap’ secara terperinci bagi persediaan Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark.
Sarawak Delta dijangka akan membentangkan ke peringkat kebangsaan pada Oktober 2023 bagi hasrat kerajaan negeri untuk pencalonan di peringkat UNESCO Global Geopark pada 2024.
Bengkel tersebut berlangsung dari 3 hingga 4 Oktober 2023 melibatkan seramai 30 pegawai daripada pelbagai agensi.
Antaranya, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Muzium Sarawak,
Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Peguam Besar Sarawak.
Termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Sarawak Tourism Board (STB), Majlis Daerah Bau, Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Tourism Malaysia Sarawak, Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching.
Bengkel ini dibimbing oleh Kumpulan Pakar Geopark Global dan Kebangsaan yang diketuai Profesor Emeritus Dato Ibrahim Komoo yang merupakan naib presiden Global Geoparks Network Association (GGN).
Selain ahlinya yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan Profesor Dr Che Aziz Ali, Pensyarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM Profesor Madya Dr Tanot Unjah dan Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan Dr Dana Badang.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281642489810286
Borneo Post
