Utusan Borneo

Adakan persidangan mengenai sejarah pahlawan Iban

Persidangan khas memberi peluang kepada penulis dan intelek Iban melakukan penyelidikan sewajarnya

Oleh Watt Zacchaeus

“Setelah mendapatkan pelbagai maklumat daripada Harry, saya berharap fakta sejarah Sarawak mengenai perjuangan pahlawan dibentangkan oleh beliau pada persidangan itu diberi perhatian oleh sejarawan Sarawak, jika tidak sejarah Sarawak harus ditulis semula menurut penyelidik tempatan ” sendiri. Bill Jugah Pengerusi SADIA Rajang

SIBU: Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Rajang mencadangkan supaya satu persidangan khas mengenai sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan Iban pada umumnya diadakan pada masa terdekat bagi memberi peluang kepada penulis dan intelek Iban melakukan penyelidikan sewajarnya.

Pengerusinya Bill Jugah berkata, ini susulan Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) pada 13 dan 14 September lalu diadakan di Kuching di mana SADIA Rajang diwakili oleh seorang karyawan terkenal, Harry Usup Umbar.

“Setelah mendapatkan pelbagai maklumat daripada Harry, saya berharap fakta sejarah Sarawak mengenai perjuangan pahlawan dibentangkan oleh beliau pada persidangan itu diberi perhatian oleh sejarawan Sarawak, jika tidak sejarah Sarawak harus ditulis semula menurut penyelidik tempatan sendiri,” katanya kepada Utusan Borneo di sini kelmarin.

Bill berkata, mereka tidak menyangkal sebarang fakta sejarah melibatkan pahlawan Melayu, Cina dan etnik Dayak lain.

Namun, pahlawan-pahlawan Iban di Sarawak mempunyai ciri-ciri perjuangan tersendiri sejak zaman Kerajaan Sultan Brunei pada 16001841, Kerajaan Rajah Brooke (1842-1941), Kerajaan Jepun (1942-1945), Kerajaan Koloni British (Sarawak & Malaya 1946-1962) dan Kerajaan Malaysia (1963 hingga sekarang).

Justeru, beliau juga mencadangkan supaya satu persidangan khas mengenai sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan Iban pada umumnya diadakan pada masa terdekat.

“Kertas kerja dan hasil persidangan tersebut nanti diajukan kepada Kerajaan Sarawak dan Malaysia.

“Kita mahu sejarah bumi tercinta kita ini diketahui oleh generasi masa depan agar sejarah tidak pupus dan pemahaman peranan satu-satu kaum membentuk masyarakat majmuk di negara kita sentiasa menjadi tiang seri rumah kita huni di mana kita saling melengkapi, menyokong dan mengukuhkan satu sama lain kini dan selamanya,” jelas beliau yang merupakan seorang tokoh Dayak dikenali di Kalimantan Barat.

Sementara itu, Harry berkata daripada 27 kertas kerja dibentangkan hanya empat pemakalah terdiri daripada orang Iban@Dayak iaitu beliau sendiri, Dr Regina Garai, Dr Philip Beginda dan Anita Dian.

“Oleh itu, amat sedikit fakta sejarah Sarawak melibatkan kaum Iban@Dayak, sedangkan bukan sedikit peristiwa bersejarah melibatkan perjuangan kaum Iban semasa pemerintahan Sultan Brunei, Rajah

Brooke dan Koloni British di Sarawak.

“Kalau bukan kita penulis Iban sendiri merungkai fakta sejarah Sarawak, siapa lagi? Kita tidak menyalahkan penyelidik dan penulis Melayu dan kaum lain kerana tidak menyebut peristiwa sejarah melibatkan kaum Iban, sebabnya mereka tidak tahu atau tidak pasti,” jelasnya.

Pada persidangan tersebut, Harry menyerahkan kertas kerja penuhnya mengenai tujuh orang pejuang Iban menentang Kerajaan

Raja Brooke dari 1842 hingga 1934 sahaja seperti: Linggir ‘Mali Lebu-Never Fail’, Aji Anak Orang Kaya Pemancha Dana, Bantin ‘Ijau Lelayang-Green Swift’, Libau ‘Rentap-EarthTremor’, Mujah ‘Buah Raya-Great Fruit’, Balang ‘Balai Nyabong-Cock Fighting Pit’ & Enjop.

Menurut penyelidikan Harry, tujuh orang pahlawan Iban tersebut dan yang lain bukanlah lanun, ‘pirates’, ‘headhunters’, ‘invaders’ dan ‘trouble makers’ pada zaman Raja Brooke.

“Namun, mereka adalah pejuang nasionalisme kenegerian (wilayah), nasionalisme budaya dan nasionalisme etnik yang bertindak balas terhadap penentangan etnik Ukit, Baketan, Seru, Beliun, Rajang, Sengalang, Lusum, Pieng, Lugat dan etnik Orang Ulu yang lain, ketika orang Iban mencari kawasan baharu, ‘berumpang menua atau mubuk menua’, (Ilan Mersat, P.M.Dr. Neilson 2019:vii).

“Selain itu, pahlawanpahlawan Iban juga berjuang menentang polisi negatif Kerajaan Sultan Brunei terdahulu dan berlanjutan ke zaman Rajah Brooke berpunca daripada isu ‘Pasu Memengut, gundik’, pembunuhan Balang ‘Balai Nyabong’, sistem cukai dan isu tanah,” katanya.

Dari sudut perkembangan politik dan sosial, walaupun tidak menang pada keseluruhannya berjuang selama lebih 92 tahun tetapi pahlawan-pahlawan Iban terbabit berpuas hati kerana berjaya menyedarkan Rajah Brooke, apa yang mereka mahu terutama memahami budaya orang Iban yang mengamalkan pertanian pindah ‘swidden agriculturalist’ dan membuka penempatan baharu ke seluruh negeri Sarawak tanpa gangguan sesiapa.

Malah ujarnya, kehilangan negeri-negeri ‘losses Brunei’s territories’ kepada Sarawak Kingdom adalah hasil daripada drama perjuangan pahlawan-pahlawan Iban sama ada sebagai protagonis atau antagonis.

“Oleh itu, pahlawanpahlawan Iban boleh dilihat sebagai ‘The makers of the Sarawak Kingdom States’ yang diwarisi British Colony pada 1946 dan ‘Premier of Sarawak’ hari ini 2023,” jelasnya.

Tempatan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281702619352430

Borneo Post