Kes demam denggi dilaporkan meningkat sepanjang tahun
SRI AMAN: Demam denggi merupakan penyakit endemik yang berlaku di Malaysia dengan peningkatan kes dilaporkan sepanjang tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Sri Aman Joshua Martin berkata, penyakit itu berpunca daripada nyamuk aedes yang menjadi pembawa penyakit demam denggi.
Menurutnya, bagi Sri Aman khasnya sebanyak 38 kes dilaporkan bermula Januari hingga September lalu berbanding 25 kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 52 peratus.
“Manakala satu kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi dilaporkan sehingga kini,” katanya ketika berucap merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Sarawak di Rumah Meluda dan Rumah Ringgit, Kampung Ibol di sini kelmarin.
Beliau yang mewakili Residen Bahagian Sri Aman berkata, gotong-royong itu merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak dua kali setiap tahun dengan penglibatan semua agensi serta penyertaan komuniti.
“Sempena program gotong-royong peringkat negeri ini, saya ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat khususnya penduduk di sini melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Kita semua perlu mengambil berat hal ini dan sekurang-kurangnya meluangkan masa selama sepuluh minit setiap minggu di premis masing-masing bagi membendung penularan kes ketika ini,” jelasnya.
Bagi memastikan tingkah laku memusnahkan tempat pembiakan aedes dibuat secara konsisten, inisiatif ‘One Hour Malaysia Clean Up’ diperkenalkan dan dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 9 Julai di Selangor.
“Inisiatif ini menggesa agar aktiviti gotong-royong dilaksanakan pada setiap hari Sabtu minggu keempat setiap bulan sebagai salah satu langkah kawalan denggi,”katanya.
Menurutnya, usaha pencegahan dan kawalan denggi ini turut diperkasakan melalui penglibatan pasukan sukarelawan My Champion Combi di seluruh negara sebagai ejen perubahan tingkah laku masyarakat.
“Sehingga Jun 2023, sebanyak 3,320 pasukan sukarelawan My Champion Combi ditubuhkan dengan penyertaan seramai 31,065 sukarelawan terdiri daripada kalangan komuniti seluruh negara.
“Saya difahamkan, rumah ini juga didaftarkan sebagai lokaliti My Champion Combi pada tahun ini.
“Saya juga dimaklumkan, rumah ini dinobatkan naib juara Pertandingan Inovasi Perkhidmatan Peringkat Negeri Sarawak dianjurkan Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan mempertanding Projek Rumah Asap 3R,” jelasnya.
Secara ringkasnya, projek Rumah Asap menyediakan perkhidmatan beriadah dan bersosial dibuat daripada bahan-bahan terpakai atau kitar semula.
Amalan kitar semula harus dipuji kerana secara tidak langsung dapat mengurangkan atau menghapuskan tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Kanan Seksyen Penyakit Berjangkit Bawaan Vektor Mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Muhammad Sufian Mohd Yusof dan Pegawai Kesihatan Bahagian, Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman Dr Natazcza Abdul Rahim.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281724094188910
Borneo Post
