Warga Indonesia dituduh bunuh rakan senegara diperintah bela diri
SIBU: Seorang warga Indonesia yang didakwa membunuh rakan senegaranya di Tanjung Manis tahun lepas, diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi semalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjata membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Tertuduh Muh Sakkar Arakee terdahulu didakwa menyebabkan kematian Hapil Jamal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan pada penutupan kes pendakwaan dan hujah daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Beliau berkata, penilaian maksimum terhadap bukti adalah meyakinkan atau cukup kukuh untuk memastikan mangsa meninggal dunia akibat tikaman yang menyebabkan kecederaan di dadanya, di mana tertuduh adalah orang yang bertanggungjawab menyebabkan luka tikaman dengan menggunakan badik dan tertuduh juga berniat menyebabkan luka tikaman tersebut.
“Dengan kecederaan yang terhasil oleh tertuduh kepada si mati, adalah mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.
Bagi membela diri, Muh Sakkar boleh memilih sama ada untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, kenyataan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh atau berdiam diri.
Muh Sakkar yang diwakili peguam Ranbir Singh Sangha memilih untuk memberi akuan bersumpah.
Perbicaraan akan diteruskan pada 20 Oktober 2023.
Berdasarkan pertuduhan, Muh Sakkar didakwa membunuh Hapil Jamal di kuarters pekerja di Zon Perindustrian Pembinaan Kapal di Bandar Baru Tanjung Manis, Sarikei antara jam 10.30 malam dan 11 malam pada 14 Oktober 2022.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281762748894574
Borneo Post
